Kemas kini hidup Hanis Afifah

November 03, 2023

Assalamualaikum wrt wbt.

Banyak benda yang tengah terjadi dalam dunia sekarang ni, kan? Bukanlah nak kata zaman-zaman sebelum kita tak banyak mana benda yang berlaku. Cuma nak kata, dalam dunia yang terhubung tanpa sempadan pada zaman kita ni, lebih banyak sumber dan mudah untuk kita dapat pendedahan tentang peristiwa-peristiwa yang berlaku di dunia. 

Sekian, mukadimah. =)

Setahun yang lepas, saya ada tulis tentang malam sebelum hari pertama menjadi pelajar pengulang secara rasmi dekat sini. Masha-Allah, genap dan selamat sudah setahun berlalu. Insya-Allah, kalau tak ada aral, semester ni ialah semester terakhir saya untuk pengajian LL.B di UIA ni.

Alhamdulillah, dalam tempoh setahun ni, dengan izin Allah, banyak perubahan dan peningkatan positif yang saya dapat rasa dalam diri sendiri. Terutama dari segi perihal mental dan dalaman. 

Semester yang lepas, saya cuma ambil empat mata pelajaran atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan dan di luar kawalan saya. Pun begitu, tekanan daripada empat subjek tu nyata berjaya buat saya rebah dan kalah dengan rasa takut dan cuak diri sendiri. Pertama kali seumur hidup saya kena serangan panik. 

Saya tak pasti serangan panik yang teruk tu sifat dan kadarnya macam mana. Disebabkan tu, saya berpendapat serangan panik yang menimpa saya semester lepas hanya dalam kategori sederhana. Selama dua jam lebih, saya mengalami kesukaran bernafas. Bila pergi cek di klinik, doktor sahkan kesukaran bernafas tu memang sebab tekanan mental, bukan masalah fizikal.

Sedih sebenarnya bila ingat balik kejadian ni.

Sampai hari ni, saya masih ingat dengan jelas apa yang saya rasa semasa mengalami serangan panik tu. Disebabkan kejadian inilah, saya kerapkan diri pergi kaunseling semester lepas. Dan saya mula lazimkan diri dengan kegiatan menjurnal - buku dalam gambar di bawah inilah jurnal yang saya tengah guna sekarang.

Mungkin imej buku, diari dan teks

Alhamdulillah. Saya bersyukur sangat sebab menjurnal memang jelas berkesan membantu saya untuk selia keadaan mental sendiri, nak kawal rasa takut dan cuak berlebihan, nak absahkan setiap satu perasaan yang datang singgah walau sekecil mana perasaan tu, dan macam-macam lagi.

Itu saja rasanya yang saya nak kongsikan tentang pengajian saya.


@hanis.menulis

Alhamdulillah, ada banyak pencapaian saya dalam dunia menulis tahun ni yang saya syukuri. Pencapaian pertama yang nak saya catatkan dalam blog ni ialah program Bedah Karya di sekolah menengah saya. Cikgu BM saya dulu jemput saya untuk kupas dan bedah karya saya sendiri, novel sulung saya - insecure, di hadapan pelajar tingkatan satu, dua, dan tiga.

Mungkin imej 1 orang dan teks

Jujurnya, saya kurang berpuas hati dengan hasil yang saya persembahkan pada hari program tu berlangsung. Tapi, saya pujuk hati untuk berlapang dada sebab ini kali pertama saya buat pengucapan awam yang begitu. Jadi ... Tahniah buat diri saya sendiri! Huhu.

Alhamdulillah, saya berjaya lengkapkan manuskrip rasmi saya yang kedua pada tahun ni. Sebuah novel yang saya beri nama Cempaka Hafiz. Manuskrip saya yang ini merupakan versi ketiga untuk cerita Cempaka Hafiz ni. Disebabkan sayang dan yakin pada potensi cerita, saya cuba hantar untuk Sayembara Iman 2.0.

Saya juga sekarang dah ada dua cerpen di aplikasi Cereka. Bawah ni saya lampirkan kulit depan kedua-dua cerpen tu. Mana tahu ada antara korang yang berminat nak baca, kan?


Cuti semester yang lepas, saya cabar dan beranikan diri untuk buat siaran langsung di IG. Rentetan daripada sesi siaran langsung yang dah saya buat tiga kali setakat ni, saya berjaya hasilkan e-buku ketiga saya dan tengah dalam usaha nak siapkan e-buku keempat saya.



Penutup

Itu saja yang saya nak bebelkan, luahkan, dan kongsi untuk catatan kali ni. Insya-Allah, ada masa lain kali saya akan menulis lagi di blog ni. Terima kasih kepada korang yang sudi baca dari awal catatan ni sampailah ke sini.

Fi amanillah, semua! <3



You Might Also Like

0 comments

Like us on Facebook