Ulasan: LOST oleh Nadia Bakar

November 09, 2023

Assalamualaikum wrt wbt
 

 

Kisah bagaimana saya direzekikan memiliki senaskhah buku bertajuk LOST ini bermula dengan komen ikhlas dan suka-suka yang saya tinggalkan di bawah video gulungan yang dimuat naik oleh kak Nadia. Korang boleh tengok tangkap layar di bawah untuk tengok komen yang saya maksudkan dalam perenggan ni.


 

Tak lama selepas tu, saya dapat mesej daripada kak Nadia. Katanya kak Nadia sudi nak hadiahkan senaskhah buku sulung beliau kepada saya. Ya Rahman! Cair sungguh rasa masa tu. Bukan setakat cair, air mata saya pun laju rasa nak mengalir. Tak dapat nak saya gambarkan dengan kata-kata macam mana gembiranya perasaan saya masa tu.

Alhamdulillah, pada tarikh 1 Julai, senaskhah buku LOST selamat sampai ke tangan saya. Kebetulan masa tu, ibu saudara saya sekeluarga dari Johor datang melawat. Alang-alang tu, saya ajak sepupu kecil saya untuk rakam video nyahbungkus buku ini. Teruja budak kecil tu, saya pun gembira tengok.

 

 

Macam biasa, benda pertama saya buat ialah menikmati dan menghargai kecantikan kulit buku ni. Saya suka sangat-sangat warna tema kulit buku ni. Paparan grafik pada kulit depan turut menjadi bahan penarik. Keratan jalan bagaikan jalan raya pada kulit depan dihiasi pin penanda pada kiri dan kanan selekoh keratan tersebut bagaikan simbol penanda buat mereka yang kebingungan mencari jalan pulang.


Buku ni tentang apa?

Buat korang yang tak tahu, kak Nadia merupakan salah seorang pencipta konten yang terkenal di Instagram. Niche kak Nadia ialah nota Canva berkenaan tadabbur ayat-ayat Al-Quran, motivasi kehidupan doa-doa terpilih dan sebagainya. Setahu saya kak Nadia ada beberapa akaun IG, tapi kalau niche yang saya sebutkan dalam perenggan ni akaun tersebut ialah @notanadia.

Hal-hal yang saya sebutkan dalam perenggan sebelum ni jugalah isi kandungan dalam buku LOST ni. Diringkaskan, isi kandungan buku LOST terbahagi kepada empat iaitu:

  • Tadabbur (surah-surah terpilih).
  • Jurnal Quran (ayat-ayat terpilih).
  • Asmaul Husna (nama-nama terpilih).
  • Tip-tip umum berkaitan Al-Quran dan hidup.


Tanggapan pertama saya:

Sejujurnya, pada peringkat awal pembacaan, saya kurang menikmati isi kandungan buku ni. Pada ketika itu, saya masih keras berpegang yang nota-nota sebegini akan lebih dapat dihayati isinya kalau saya sendiri yang buat nota tersebut. Tambahan, konotasi dan intonasi ayat dalam catatan selepas halaman nota jurnal digital berbaur kapsyen IG.

Bila saya sampai ke halaman 67, barulah saya buka hati dan fikiran saya. Saya tukar cara pandang saya terhadap buku sulung fizikal kak Nadia ni. Selepas perubahan dan rombakan alur fikiran tadi, alhamdulillah, jelas is sangat berbaloi kerana selepas tu saya jadi lebih mampu menghargai isi-isi dan cara penulisan kak Nadia dalam buku ni.

Mungkin ada baiknya saya jelaskan dengan mendalam sikit kenapa saya kurang masuk dengan buku LOST pada halaman-halaman awal. Sebab utamanya ialah saya kurang minat dengan buku bukan fiksyen bertema sebegini yang menggunakan gaya bahasa yang hampir serupa dengan percakapan dalam kehidupan nyata.

Saya mencari keindahan bahasa yang nyata boleh dibezakan daripada percakapan seharian dan gaya bahasa di media sosial, walaupun dalam penyampaian santai. Contohnya, buku-buku Ustaz Hasrizal Jamil, Ustaz Syaari Ab Rahman, dan Imran Zaki.

Saya harap apa yang saya cuba sampaikan ni dapat difahami. Huhu.


Apa yang seronoknya baca buku LOST ni?

Banyak! Banyak hal yang seronok dalam buku ni! 

Seronok buat hati yang kelaparan, iman yang ketandusan, dan jiwa yang sedang longlai.

Salah satu bahagian yang saya suka ialah pada seksyen Jurnal Quran. Alhamdulillah, banyak doa-doa menarik yang saya dapat tahu. Nak baca doa-doa ni semua lepas solat pun rasa bahagia sebab melalui nota kak Nadia, saya dah tahu serba sedikit tentang doa tu semua.

Saya juga sangat-sangat menghargai seksyen Asmaul Husna dalam buku ni. Bertambah sudah bilangan nama Allah yang saya ingat dan faham akan maknanya untuk saya gunakan dalam doa-doa saya. Seribu penghargaan buat kak Nadia. 

Tip-tip yang dikongsikan pada bahagian penghujung juga tak kurang menarik dan seronok dibaca. Saya berpendapat tip-tip yang kak Nadia kongsikan bukan sahaja mendalam tetapi juga praktikal nak diamalkan dalam kehidupan seharian.


Kesimpulan:

Ada rezeki lebih nanti, saya akan beli e-buku kak Nadia pula. Sekian sahaja ulasan saya. Terima kasih kepada korang yang sudi baca sampai sini. <3


You Might Also Like

0 comments

Like us on Facebook