Assalamualaikum wrt wbt.
Alhamdulillah! Segala syukur dan pujian bagi Allah. Akhirnya, e-buku Cempaka Hafiz yang dah sekian lama berada dalam perancangan nak diterbitkan sebagai e-buku tercapai jua akhirnya. Betapa gembiranya saya!
Bagaimana bermulanya kisah Cempaka Hafiz (CH).
Idea asal akan kisah dua insan ini sangatlah berbeza dengan apa yang telah saya siap tulis dan sunting di dalam e-buku ini. Idea asalnya ialah Cempaka si muslimah bertudung labuh yang suka menilai buku daripada kulitnya. Tingkah laku dia yang menjaga pandangan menarik perhatian Hafiz, si jejaka ekstravert yang mesra alam.
Istimewanya kisah CH ini di dalam hati saya kerana ia merupakan cerita yang menjadi pemangkin saya bertukar serius tentang dunia penulisan. Ia juga menjadi cerita pertama yang saya lengkapkan sebagai sebuah manuskrip. CH juga menjadi saksi dan permulaan saya bertatih dalam proses saya belajar menjadi seorang novelis.
Daripada cerita inilah saya belajar mencipta watak, mencipta konflik, dan menambah baik kemahiran menulis saya. Betapa ia memberi 1001 kenangan kepada saya sebagai seorang penulis dan pengarang - manis dan pahit.
Ada apa dengan kisah CH ni?
Pada zahirnya, ia mungkin kelihatan seperti cerita cinta islamik yang lazim dan berlambak di pasaran. Saya juga tak salahkan orang kalau itu tanggapan mereka terhadap e-buku kedua saya ini. Tanggapan awal itu betul, namun pada peratusan yang rendah sahaja.
Kisah CH ini lebih sesuai digelar sebagai kisah taaruf berbanding kisah cinta. Ia bukanlah kisah sepasang manusia yang dilamun cinta dan dihiasi pula perkenalan mereka dengan babak-babak romantik dan berbunga-bunga begitu. Tidak sama sekali.
Sebaliknya, cerita ini ada kemanisannya yang tersendiri - perjalanan taaruf yang cuba dikekalkan mengikut kehendak syariat, proses mengenali hati budi dan wawasan hidup pasangan berpotensi, isu dan kesukaran yang dialami oleh belia yang berusia pertengahan 20-an, perjalanan seorang insan yang cuba menjadi individu yang bermanfaat, penghijrahan insan belajar membuka perspektif dan sudut pandangnya.
Kenapa saya tulis kisah CH ni?
Saya dulu peminat tegar novel cinta seperti yang diterbitkan oleh Alaf21. Saya juga dulu suka baca kisah-kisah cinta percuma yang ada di Wattpad. Tapi, kecintaan saya ni bertahan hanyalah sehingga usia saya 16 tahun. Lepas 'dibasuh' oleh buku Matluthfi, saya belajar buka minda dan paksa diri keluar dari dunia khayalan.
Kerapkali saya nampak dekat televisyen dan novel-novel bagaimana kisah cinta bukan sahaja membuai emosi tapi juga menjadikan saya lupa dan buta terhadap fitrah cinta.
Lebih tepatnya, lambakan kisah cinta aliran utama yang pernah saya hadam selalu gambarkan cinta ni indah sungguh ditambah pula dengan babak-babak yang manis dan romantik antara dua watak utama. Cinta mereka juga sekadar di dunia ni sahaja, tak dikembalikan kepada makna hidup yang sebenar - khalifah dan a'bid.
Saya juga kurang gemar dengan cara novel-novel dan cerita ni menormalisasikan dan menampakkan hubungan percintaan sebelum bernikah ni sebagai sesuatu yang baik, dibolehkan, dan digalakkan lagi. Saya betul-betul tak suka tu.
Jadi, saya cuba untuk karang sebuah kisah cinta yang taklah berapa nak kisah cinta sangat namun tetap ada kemanisannya. Maka, terhasillah e-buku Cempaka Hafiz.
✿ ✿ ✿
Sampai sini dulu perkongsian saya.
Terima kasih kepada mereka yang sudi membaca. Assalamualaikum.