Omelan: Ibu bapa ialah madrasah pertama anak-anak.
Ogos 15, 2022Catatan ini asalnya saya kongsikan di Facebook. Baru-baru ni saya menonton sekali lagi filem Drishyam, dan terdetik nak sunting sedikit dan kongsikan ke sini apa yang saya catatkan sebelum ni. Semoga ada ibrah dan manfaat untuk korang yang membaca.
✿ ✿ ✿
Baru semalam habis tonton filem Tamil bertajuk Drishyam 2 yang merupakan sambungan kepada filem pertamanya, Drishyam. Pembinaan plot pada bahagian awal filem agak perlahan, begitu juga pembinaan konflik pada pertengahan filem.
Namun begitu, klimaks dan penghujung filem sangatlah memuaskan hati! Pintal alur pada bahagian klimaks sememangnya membuatkan kesabaran menunggu plot dibina pada awal filem sangat berbaloi. Tambahan, setiap satu aspek yang ditayang pada separuh awal pertama filem semuanya memberi kesan dan ada kepentingan pada penghujung cerita.
Memang Drishyam 2 ialah filem yang sangat gempak!
Semoga industri tanah air kita mampu menghasilkan filem sebegitu di masa hadapan nanti.
Didikan ibu bapalah yang membentuk sahsiah anak-anak.
Sangat menyakitkan hati bila mengenangkan konflik yang terjadi dalam filem Drishyam & Drishyam 2 ni bermula semata-mata kerana perbuatan tak bertanggungjawab Varun yang merakam video Anju mandi di dalam tandas. Varun kemudian mengugut pula gadis itu untuk memenuhi kehendaknya jika Anju tak nak video yang telah dirakam tersebut ditularkan di Internet.
Keberanian Varun dalam melakukan deretan perbuatan keji tersebut sedikit sebanyak dapat kita sandarkan kepada faktor seperti didikan yang kurang dan ditatang bagai minyak yang penuh oleh ibu bapanya, keluarga yang berada, ibu bapa yang berpengaruh, dll.
Faktor yang pertama ditulis di atas itulah yang paling menyakitkan jiwa bila difikirkan dan direnungkan! Watak Varun yang terlalu dimanjakan dan diberi muka oleh ibunya yang berada dan berjawatan tinggi di dalam pasukan polis menjadikan dia membesar dalam kemewahan.
Barangkali, kemewahan tersebut dilimpahkan oleh watak ibu itu atas dasar kasih sayang dan rasa bersalah kerana tidak dapat meluangkan masa selalu dengan anak tunggalnya.
Natijahnya?
Varun hidup dalam kemewahan dan tidak dididik dengan cara yang benar dan wajar. Dia juga jarang dimarahi oleh ibunya apabila berbuat kesalahan. Inilah yang membuatkan dia membesar menjadi manusia yang mementingkan diri dan tak bertanggungjawab!
Pengajaran daripada filem Drishyam dan Drishyam 2.
Walaupun banyak lagi pengajaran yang boleh dikutip daripada filem Tamil ini, namun pengajaran berkaitan pendidikan ibu bapa terhadap anak-anak inilah yang paling menyentuh hati saya dan melekat di dalam otak.
Betapa besarnya tanggungjawab ibu bapa dalam mendidik anak-anak mereka agar anak-anak itu nanti membesar menjadi ahli masyarakat yang bertanggungjawab dan baik budi pekertinya.
Suka hendak saya ingatkan sebenarnya, ia juga penting untuk kita semua ingat dan faham bahawa mendidik anak-anak kecil itu hakikatnya tidaklah terhad kepada ibu bapa semata-mata, walaupun ia tugas mutlak mereka kepada anak-anak masing-masing.
Kita yang ahli masyarakat ini sebenarnya turut mempunyai peranan yang besar dalam mendidik anak-anak kecil di dalam masyarakat kita dengan cara menunjukkan contoh dan tauladan yang baik.
Memang seharusnya kita berbuat sedemikian supaya ia menjadi ikutan anak-anak kecil dalam masyarakat kita yang sentiasa memerhati dan menilai tindak-tanduk kita.
Marilah kita bersama-sama mengubah diri berakhlak lebih mulia untuk melahirkan generasi muda yang beradab dan bertanggungjawab.
✿ ✿ ✿
Terima kasih sudi membaca.
Assalamualaikum.
0 comments