LDK, misi kurus kekal Hanis, dll

November 22, 2025

Assalamualaikum wrt wbt,

Alhamdulillah, akhirnya selepas enam bulan lebih, saya akhirnya dah dapat tarikh Long Call (upacara angkat sumpah oleh peguam pelatih untuk diterima masuk sebagai Peguambela & Peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya). 

Antara aral melintang yang menyebabkan penangguhan dapatan tarikh Long Call saya ialah masalah borang Selangor Bar yang tak lengkap, ada dokumen yang tertinggal daripada diserahkan ke Selangor Bar, kecuakan melampau nak dapatkan cop untuk Borang 6, 7 & 8, prosedur pemfailan di portal AGC yang agak mengelirukan, dsb. 

Apa yang buat saya sedih kebanyakan aral ni semuanya disebabkan kelemahan diri saya sendiri. Dan benda ni buat saya terfikir, betul ke ada peningkatan dalam diri saya? Belajar di asasi dan AIKOL UIAM dulu pun, saya habis belajar lambat satu semester dan satu tahun berbanding rakan-rakan sekelas. Pengajian LL.B(S) pun saya tak habiskan. 

Lagi sedih bila terfikir, dengan kelemahan sebanyak ini, dan kelemahan yang berdasarkan aliran terkini hidup saya, nampak macam masih belum diatasi, ada ke syarikat yang nak ambil saya bekerja nanti? Sanggup ke mereka nak terima dan percaya pada janji yang saya akan berusaha keras untuk bekerja sebaik mungkin walaupun terlalu banyak kelemahan diri? 

Itu belum ditambah lagi perasaan syubhah menebal yang timbul dalam diri saya nak teruskan kejar dan bina kerjaya dalam bidang undang-undang ni, lagi-lagi undang-undang jenayah. 

Saya tahu dan saya faham yang banyak benda saya risaukan berkenaan prospek kerjaya saya ni berada di luar kawalan saya. Jadi teringat pada satu keping ayat Al-Quran:

Surah An-Nisa Ayat 28

Saya hanya mampu usaha sebaik mungkin untuk hal-hal yang dalam kawalan saya, dan saya serahkan sepenuhnya hal-hal di luar kawalan saya kepada Allah. Sedangkan sekeping daun yang gugur pun dalam pengetahuan dan aturan Allah (Al-An'am, ayat 59), inikan pula hidup saya selaku hamba-Nya yang bernyawa?

 

🌸꧁🪷🌷🌸🌺🦩꧂🌷˚˖𓍢ִ໋🌷͙֒✧˚.🎀༘⋆

 

Saya kurang ingat kalau-kalau saya ada tulis azam 2025 awal tahun hari tu. Bila fikir balik sekarang, kemungkinan besarnya tak. Sebab abi saya masuk hospital hujung Disember 2024 tu, dan meninggal pada hujung Januari 2025. Memang sah-sahlah tak ada masa untuk saya bersantai-santai fikir tentang azam 2025.

Tapi, ada satu azam yang saya pegang sejak 2021 dan hampir-hampir capai pada tahun yang sama tu - saya nak turunkan ebrat badan. Lebih khusus lagi, saya nak dapatkan berat badan 60kg. Pada tahun 2021, saya dapat capai 64kg, tapi disebabkan ilmu yang kurang dan perubahan suasana belajar dalam talian kembali ke kampus, saya tak dapat konsisten kekalkan berat badan tu. Dalam masa tiga tahun lebih, saya naik semula 10kg yang saya dah hilang dalam tempoh empat bulan lebih tahun 2021 tu.

Dan semasa saya menulis catatan ni, alhamdulillah, dengan penuh kesyukuran dan rendah hati saya boleh kata saya dah berjaya capai BMI normal dan tinggal 10kg menghampiri sasaran 60kg saya. Alhamdulillah, tak tergambar dengan perkataan akan kegembiraan yang saya rasakan.

 

Azam saya kali ni nak kurus kekal. Saya tak nak kejar kurus cepat, sebab saya nak kekalkan perubahan baik dalam tabiat pemakanan ni sehingga ke akhir hayat saya. Insya-Allah! 

Ada satu benda yang paling saya syukurkan berkenaan misi kurus kekal saya ni, saya dah tak lagi diperhambakan nafsu makan sendiri! Walaupun semasa fasa PMS saya! Alhamdulillah, itu yang paling saya seronok sangat. Sebelum ni, setiap kali fasa PMS (dan kadang-kadang pada hari biasa pun), ada hari yang saya akan makan banyak, dan kemudian saya akan menyesal dan rasa serba salah. Saya tak suka dua perasaan yang timbul selepas melahap tu.

Selain tu, saya juga bersyukur sebab dalam misi kurus saya yang kali ni, saya lebih tenang terutama bila berhadapan nombor dan kejutan berkaitan makanan, lebih faham selok-belok kalori harian dan mingguan, lebih faham macam mana hormon perempuan berfungsi, lebih faham tentang otot dan senaman, dsb. Saya berdoa dan bertawakal sungguh-sungguh pada Allah yang saya dapat kekalkan semua perubahan baik ni dan dapat wariskannya pada bakal anak-anak saya nanti (tolong aminkan saya dapat merasa rezeki ada anak ya! Terima kasih saya dulukan!). 

 

🌸꧁🪷🌷🌸🌺🦩꧂🌷˚˖𓍢ִ໋🌷͙֒✧˚.🎀༘⋆ 

 

Saya sekarang tengah perlahan-lahan nak aktif berbukugram semula. Cuma kali ni saya memilih nak lebihkan fokus pada buku bukan cereka. Kalau ada buku cereka pun, saya akan p=baca dan ulas bukan sebarang buku je. Antara sebab saya nak fokus pada buku bukan cereka ni, saya nak bina diri dan jiwa, nak sibukkan diri dengan ilmu juga supaya saya tak lalai dan dikelabui emosi dek angan-angan romansa.

Selain tu, saya macam nak lepaskan dan lupakan impian menulis saya, khususnya penulisan cereka. Saya tahu saya ada kemahiran asas, dan saya bersyukur sangat. Tapi, saya tak ada keinginan nak kembangkan lagi kemahiran saya. Saya tak akan kata yang saya akan tinggalkan langsung impian ni, cuma mungkin saya akan ketepikan dulu sebab saya ada  beberapa hal lebih besar dan penting yang perlu saya utamakan sekarang.

Okey. Itu je saya nak catatkan dalam kemas kini yang ini.

Sekian. Terima kasih sudi baca, dan assalamualaikum. 

You Might Also Like

0 comments

Like us on Facebook