Julung-julung kalinya saya memberanikan diri untuk menyertai pertandingan menulis sepanjang hidup. Sebelum ni, nak jeling poster pertandingan menulis pun saya takut. Kalau terjumpa, hanya salah satu daripada dua reaksi ni yang biasanya saya bagi - sama ada cepat-cepat langkau ataupun baca terma-terma dan kemudian tinggalkan poster tu begitu saja.
Bukan apa ... Saya sebelum ni memang tak ada keyakinan diri langsung nak menyertai apa-apa anjuran yang melibatkan persaingan, walaupun pada hakikatnya persaingan boleh menjadi sesuatu yang sihat untuk kemahiran menulis saya. Malu saya nak mengaku yang saya terlalu merendahkan diri. Bukan rendah diri, tapi sering merendahkan diri sendiri.
Selain tu, saya juga ada menanam dua tetapan minda yang tak berapa sihat macam contoh-contoh dekat bawah ni:
"Buat apa aku masuk? Dah tentu-tentu kalah juga nanti."
"Alah, aku tak layaklah nak masuk! Idea menulis aku biasa-biasa je."
Atas sebab-sebab inilah saya sangat sukakan platform menulis seperti Wattpad. Pertama, sebab tak ada panel hakim yang akan menilai karya saya secara objektif. Kedua, saya taklah rasa teruk dan kecundang sangat kalau sambutan karya tak seberapa sebab tak ada hadiah sebenar untuk dimenangi.
Kalau diikutkan, niat asal saya menyertai pertandingan yang pertama-tama seumur hidup saya pada tahun ni hanyalah nak memenangi hadiah wang tunai. Saya nak menang hadiah tunai supaya saya dapat ringankan sikit beban perbelanjaan pengajian yang selama ni ditanggung oleh ummi saya. Bila dah tulis ni, baru tersedar betapa saya menulis untuk duit kebanyakan masa selama ni.
Huhu. Kena banyak muhasabah diri balik ni.
Pertandingan pertama yang saya sertai dianjurkan oleh Cereka. Bawah ni poster pertandingan tersebut.
Alhamdulillah, rezeki saya dekat tempat lain. Saya tak menang pertandingan anjuran Cereka ni pada akhirnya. Walaupun begitu hasil yang saya dapat, saya bersyukur sangat saya beranikan juga diri untuk sertai pertandingan ni sebab banyak benda saya belajar. Antaranya macam mana nak menulis cerita sedih dengan lebih berkesan, lebih berhati-hati dalam membina jalan cerita yang logik.
Pertandingan kedua yang saya sertai dianjurkan secara kerjasama oleh DBP Wilayah Tengah dan Nusa Centre.
Berbeza dengan pertandingan Cereka yang saya sertai sebelum ni, walaupun motivasinya sama macam sebelum ni - duit - tapi khusus untuk pertandingan ni saya dah sasarkan kekalahan dari awal lagi.
Pertandingan ni ada kaitan dengan DBP! Mestilah saya cuak!
Manalah tak cuak? Setahu saya, piawai karya DBP tinggi dari segi bahasa dan idea karya tu sendiri. Memang awal-awal saya angkat bendera putih sebab saya tahu piawai yang diletakkan tu menjangkau kemampuan dan kemahiran menulis saya. Tapi, pada akhirnya saya beranikan juga diri untuk sertai pertandingan ni.
Lepas semak keputusan pemenang dekat Facebook, saya tak kecewa sangat sebab nama tak tersenarai. Saya cuma terfikir, betullah tekaan saya sebelum ni. Tapi, tak apa. Saya jadikan ni pemangkin untuk saya tambah baik kemahiran menulis saya.
Masa awal-awal semester hari tu, saya dapat mesej WhatsApp daripada satu nombor ni. Dua tiga kali saya baca mesej tu sebab tak percaya. Takut itu mesej daripada orang yang nak menipu. Lepas dah hadam betul-betul mesej tu, saya pun cepat-cepat balas akan hadir. Sempat saya tanya kawan penulis IF saya, Ghazal Fansuri, "Bengkel Pemurnian Karya tu apa benda?" Tak lama lepas tu, saya ditambah masuk pula ke dalam satu kumpulan WhatsApp.
Lepas masuk dalam kumpulan WhatsApp tu, barulah saya terdetik nak semak dekat Facebook tentang Sayembara ni. Barulah saya terjumpa poster dekat bawah tu. Barulah saya tahu rupanya sayembara tu tidak terhenti setakat enam orang pemenang tu.
Alhamdulillah, saya dapat hadir semua slot Bengkel Pemurnian Karya di bawah bimbingan Puan Salina Ibrahim dan Tuan SM Zakir. Insya-Allah, ada masa nanti saya akan kongsi di sini dan di Instagram apa yang dah saya belajar sepanjang bengkel tu.
Panjang saya bercerita ni dengan harapan kalau ada penulis pemula (ataupun yang dah lama) yang luangkan masa membaca catatan saya ni akan ambil langkah-langkah yang sepatutnya untuk tambah baik kemahiran menulis masing-masing. Berdasarkan pengalaman singkat saya ni, pertandingan ialah salah satu cara yang terbaik.
Semoga ada manfaat untuk korang yang membaca.
Selamat menulis dan assalamualaikum!