Tak lagi mampu membaca dan berbukugram macam dulu ...

Julai 11, 2025

Assalamualaikum wrt wbt,

Sejak mula bekerja sebagai seorang Pelatih Dalam Kamar (PDK), saya kerap kali ketepikan kegiatan membaca dan menulis. Walhal, kedua-dua nilah kegiatan yang paling saya cintai, yang menyemarakkan semangat dan hidup saya sewaktu pengajian Ijazah Sarjana Muda di UIA dulu. 

Tambahan, saya juga dah semakin bergelut untuk tekal mengemas kini akaun bukugram saya. Menghampiri penghujung Latihan Dalam Kamar (LDK), ada beberapa kali saya cuba ringkaskan dah mudahkan gerak kerja muat naik hantaran di akaun bukugram saya. Namun, tetap saja saya bergelut untuk mengemas kini dan memuat naik hantaran secara tekal.

Sekarang saya tengah rasmi dalam tempoh menganggur sambil menunggu tarikh Long Call. Disebabkan itu, saya nak ambil kesempatan untuk kerapkan membaca sebanyak mungkin dalam tempoh ni. Saya tak tahu lagi kelapangan masa saya masa dah bekerja nanti macam mana. Sebab tu, saya nak manfaatkan ruang, peluang dan kesempatan yang ada buat masa ni.

Dah melepasi pertengahan tahun, baru saya tersedar yang tahun ni saya tak tetapkan lagi jumlah sasaran buku yang nak dibaca untuk tahun 2025 di Goodreads. Jadi, itulah yang saya buat tadi sebelum saya menaip catatan ni. Harap-harapnya saya akan berjaya capai sasaran 25 buku tahun ni. Akan saya usahakan, insya-Allah!

 

Dalam catatan ni, saya nak senaraikan beberapa azam membaca saya sepanjang tempoh menanam anggur ni. Dan insya-Allah, saya akan usahakan untuk tekal dan kekalkan apa-apa tabiat membaca yang bagus dan rutin semasa dah bekerja nanti.

Azam 1: Nak baca sekurang-kurangnya lima halaman atau satu bab setiap hari.

Azam 2: Berkongsi isi-isi bermanfaat tentang buku yang sedang atau dah dibaca. Tak kisahlah di IG atau status WhatsApp, dsb. 

Azam 3: Nak membaca dengan otak yang tenang mengalir fikiran dan dengan penuh kesedaran. Bukan baca sekadar hanya untuk habiskan buku.

Azam 4: Nak belajar berdamai dengan hakikat yang ada hari saya akan terlalu penat dan tak sempat nak membaca, dan itu tidak mengapa. Saya nak pilih untuk hidup sebagai pembaca yang tenang, dan bukan pembaca yang sentiasa dan mudah dihambat rasa bersalah. 

*** 

Itu saja saya nak kongsikan dalam catatan. Terima kasih kepada yang sudi membaca sampai habis. 

You Might Also Like

0 comments

Like us on Facebook