Ulasan: Terang Bulan oleh Fakhrull Halim
Julai 19, 2025Assalamualaikum wrt wbt,
Dan di sini saya nak nyatakan, tak sia-sia saya gagahkan dan gigihkan diri habiskan sepertiga pertama tadi. Kebosanan yang memeluk tadi terlerai berdikit-dikit. Daripada rasa "bila nak habis bahagian ni' jadi "tak sabarnya nak baca bahagian seterusnya!".
Amaran!
Ada bocoran awal dalam ulasan ni!
Bahagian pertama novel Terang Bulan berlatarkan dan bertemakan cerita seram. Badar dikejar, diganggu dan diburu oleh seekor makhluk misteri. Dan yang lebih menggerunkan lagi, seorang demi seorang kawan Badar mati dibunuh oleh makhluk tersebut. Kemunculan Zarul yang diharapkan membantu ternyata tidak menjadi kenyataan, bahkan kewujudan dia membawa muncul pula seribu satu persoalan yang sukar dijawab.
Untuk saya yang kurang minat novel seram, bahagian pertama cerita ni memang mencabar nak diharungi. Bukanlah bermakna saya tak menghayati dan mendalami cerita itu, cuma saja ia bukan genre dan tema kegemaran saya, jadi hati memang berat nak habiskan bacaan.
Apabila dah sampai penghujung cerita, dan mengingati balik sepertiga pertama secara retrospektif, sepertiga pertama tu tak lagi terasa klise. Bahkan ia terasa bermakna, bukan serma kosonglah senang cerita.
Lapisan pertama sepertiga pertama tu apa yang kita nampak secara zahir, Badar diburu dan diganggu makhluk misteri yang nak bunuh dia. Manakala, lapisan kedua sepertiga pertama cerita ialah bila mana kita sedar setiap satu benda dalam latar tempat Badar diganggu dan diburu tu merupakan simbolik bagi sesuatu - ketagihan Badar.
Sepertiga kedua cerita ni bermula pada Bab 9. Dan pembukaan bab ni sejujurnya memang buat saya pening lalat sikit mula-mula. Mana taknya? Tadi watak utama cerita ni Badar, ni tiba-tiba bertukar pada Sin pula! Dah tu, saya pening lagi, seriuslah penulis ni namakan watak ni "sin" yang membawa maksud dosa dalam BM? Ke dia maksudkan "sin" huruf hijaiyah tu? Isu nama ni tak lama sangatlah saya peningkan. Sebab bila baca bab 9 dengan lebih lanjut, dah nyata "sin" mana yang penulis guna dan rujuk.
Pada Bab 15, barulah kita kembali ke latar kolej Badar dan rakan-rakan. Bermula bab ni, hilang dah misteri dan rasa pelik kenapa Badar diganggu, apa peranan dan siapa sebenarnya rakan-rakan dia ni. Dengan pengetahuan berkenaan diri Badar yang sebenar, membaca Bab 15 hingga ke akhir cerita buat saya selaku pembaca lagi nak tengok Badar berjaya lawan dan atasi ketagihan dia.
Antara benda yang saya kurang suka dalam novel ni ialah penggunaan kata ganti nama diri yang tak konsisten. Kebanyakan bab menggunakan kata ganti diri "aku" untuk Badar, ada bab yang guna "aku" untuk Zarul (ada pengepala yang maklumkan ini sudut pandang siapa), dan ada juga bab yang guna sudut pandang ketiga kalau saya tak silap ingat.
Ada sesetengah dialog yang rasa macam muntahan dan ledakan maklumat. Ini terutamanya pada pertengahan bab, semasa Zarul mula membantu Badar/Sin secara serius dan tekal untuk mengatasi ketagihan seks dan bahan lucah yang Badar/Sin hidapi. Penat jugalah otak nak menghadam arus maklumat yang berterusan dalam satu perenggan dialog yang panjang.
Ada juga beberapa babak syahwat yang agak grafik. Saya jujurnya rasa tak perlu pun nak tulis serinci itu. Tulis secara berkias atau berlapik pun dah okey. Pembaca tetap boleh faham apa yang terjadi dan apa yang nak disampaikan.
Nak ringkaskan ulasan saya dari segi teknikal:
- Laras bahasa: Tipikal moden, tapi sarat dengan pemilihan kata yang merangsang emosi.
- Plot: Menarik dengan pintal alur yang mengujakan saya. Tak terlalu berterabur yang sampai saya pening nak memahami bila, apa, dan dekat mana sesuatu babak sedang terjadi.
- Watak & Perwatakan: Watak-watak utama mempunyai peribadi yang menyeluruh, tak terasa bersifat satu dimensi.
Markah akhir saya untuk novel ni ialah 4/5 bintang.
0 comments