Sarong Cincin: Raja Aiman & Hanis Afifah

Januari 20, 2026

 

Cukup setahun lebih perkenalan, dan alhamdulillah akhirnya pada 18 Januari 2026 saya dan pilihan hati, Raja Aiman Syafiq a.k.a Encik Tunang sudah selamat ditunangkan. Dalam catatan ni, saya nak mengimbau semula perjalanan perkenalan kami dan detik-detik menuju ke 18 Januari 2026. 

Rancangan asalnya majlis yang nak diadakan pada 18 Januari ni hanyalah majlis perbincangan untuk kedua-dua belah keluarga. Perbincangan yang merangkumi tarikh akad, majlis gabung, lokasi majlis, jumlah hantaran, dll. Tapi, selepas berbincang, kedua-dua belah akhirnya jadi setuju untuk ubah dari majlis berbincang ke majlis bertunang.

Maka bermulalah perancangan hari tersebut, penetapan menu pada hari kejadian. susun kemas rumah, penetapan tempat masak dan makan, gubahan dulang hantaran, dsb. Koyak dan penat rasa bila kenangkan balik. Hujung Disember tu balik kampung, setiap hari ada je kerja yang kena buat. Balik rumah, tak sempat nak bermalasan kena berkejar nak buat persiapan untuk Long Call dan majlis tunang 18 Januari nanti pula. 

Seminggu sebelum 18 Januari, masa lapang yang ada saya dengan ummi guna untuk gubah dua dulang hantaran daripada tujuh kesemuanya. Tiba hari Jumaat, dan membawa ke Sabtu, dengan diketuai ummi dan wan, dibantu oleh adik, mokcu, mak jang, mak tam, mak cik Kiah, sepupu saya - Athirah, saya dan ummi siapkan lagi dua dulang. Baki lagi dua dulang kami siapkan esok pagi 18 Januari tu dengan bantuan tambahan daripada mak dak pula. Terima kasih, mak-mak saudara sayang saya semua.

Pagi Sabtu, lepas hantar ummi ke sekolah, dengan bantuan adik dan Athirah, kitorang bertiga bergegas kemas rumah, bersihkan dan susun apa yang patut. Balik je ummi dari sekolah tengah hari tu, kami yang perempuan ni cepat-cepat bergerak ke Rosyam Mart di Jalan Kebun membeli barang dan bahan untuk majlis. Penuh dua troli dengan bahan masakan sahaja. Jenuh mengangkat dan menolak. Sebagai token penghargaan, saya belanja ummi, Athirah dan adik ZUS dengan Hot & Roll. Bila perut dah berisi, barulah bertenaga sikit nak buat kerja tak berhenti! Hahahahah. Terima kasih, Athirah, sebab teman dan tolong ummi dan Kak Iffah pergi beli barang-barang majlis.

Malam tu, saya tak dapat nak tolong hias pelamin dan gubah dulang sebab ada hal kecemasan berkaitan hantaran mochi yang saya kena uruskan. Adik saya yang asalnya patut pergi ambil mochi berjumlah 20 biji tu, tapi disebabkan dia naik motor, tak dapat dia nak membawa mochi tu semua. Akhirnya, saya pinjam kereta mokcu dan pergi ke adik ditemani sepupu kecil saya, Ayraa. 

Terima kasih, mokcu, sebab bagi pinjam kereta untuk Iffah pergi ambil mochi. Dan terima kasih banyak-banyak, Ayraa, sebab sanggup teman Kak Iffah malam tu ke Setia Alam nun. Sampai je rumah, alhamdulillah, seronok tengok ahli keluarga yang ada kat rumah saya malam tu berebut dan seronok sama-sama makan mochi. Terima kasih pada mak jang, mak tam, mak cik, mokcu, dan adik-adik sepupu yang bertungkus-lumus tolong siapkan pelamin pada malam tu.

 


 

Sejak hari Jumaat, demam saya tak kebah-kebah, jadi bila menolong dekat dapur pagi hari kejadian tu, memang lembab bergerak buat kerja. Potong lobak merah pun kasar-kasar, sampai dua kali kena tegur. Sekali dengan wan, sekali dengan makwe. Rasa tebal muka juga pada ummi, huhu. Sebab ummi pun demam juga, tapi tetap lincah bergerak dan buat kerja. Insya-Allah, akan saya usahakan untuk capai tahap itu suatu hari nanti. Perlahan dan nanti, tapi pasti.

Tak lama lepas tu, ummi suruh saya fokus siapkan dulang-dulang yang masih tertangguh gubahan. Jadi, saya ajak Athirah dengan seorang sepupu kecil kami, Airis, pergi kedai beli barang-barang yang belum ada - daun gubahan, kek tunang, kipas lantai, buah untuk dulang, bunga gula untuk gubahan mochi dan pembalut makanan. Terima kasih, ibu, sebab sanggup pinjamkan kereta untuk Iffah bawa ke kedai. Terima kasih, Athirah dan Airis, sebab teman Kak Iffah dan sangat-sangat menolong Kak Iffah dalam suasana bergegas gitu. 

Pada masa yang sama waktu ni dekat rumah, ummi, wan, ayahwe, makwe, ibu, mak tam, mak dak, mak jang, mak cik, mokcu, ecek, Cik Wan, Cik Zam dan semualah, semua sibuk merewang dan kemas serta susun mana yang perlu. Terharu, bersyukur dan gembira sangat atas bantuan semua! Allahhumma barik lahum. Tanpa izin Allah, tanpa bantuan keluarga yang disayangi, memang takkan berjalan lancarlah majlis tunang Iffah hari tu. Terima kasih banyak-banyak semua, barakallahhu fikum.

Pukul 11.30 lebih, akhirnya saya, Athirah, dan Airis sampai rumah. Cepat-cepat kami bawa barang-barang dah beli tadi dan bersegera siapkan dulang dibantu mak dak dan mak jang. Lebih kurang pukul 12.15 lebih, saya terpaksa lesapkan diri sebab nak bersiap-siap memandangkan pihak lelaki akan sampai lepas Zohor nanti. 

Sepanjang bersiap tu, dari saat sarung baju sampailah ke detik bersolek dan pakai tudung, rasa gementar tu tak kuat sangat lagi sebab tengah sibuk fokus nak bersiap seelok mungkin. Tapi, lepas dah siap ... amek kau! Dengan tak tertelan makanan, asyik nak minum air, jari-jari jadi sejuk, baru tersedar yang ... "Ya Allah, aku nak bertunang hari ni? Sungguhlah?" Bermulalah sesi cuba menenangkan diri sendiri yang gementar dan cuak tak pasal-pasal.

Terima kasih sangat-sangat pada semua adik sepupu yang cakap Kak Iffah cantik pada hari tu, baik baju ataupun mekap. Gembira Kak Iffah rasa. Sebab kitanya sangat-sangatlah jahil bab mekap ni. Belajar mana yang asas dan penting je untuk hari tunang ni.

Dan Ttrima kasih banyak adik-adik sepupu semua - Alisya, Airis, Amna, Aqeela, Hana, Raudah, Humaira, Athirah, Maisarah, Aisyah, dll, yang teman Kak Iffah dalam bilik menunggu tu. Seorang demi seorang ada je usaha masing-masing nak tolong Kak Iffah supaya tak sedih setiap kali teringat arwah abi dan atuk, ada yang tolong ingatkan Kak Iffah kawal pernafasan bila nampak sangat gementar tu makin naik dan maca-macam lagilah. Terima kasih untuk kemurahan hati, kesempoian, dan kecomelan semua. 

Lepas Zohor, akhirnya pihak lelaki pun sampai ke rumah. Ya Rabb, masa ni degup jantung tu makin menggila, jari makin sejuk, muka langsung tak boleh nak senyum dah! Kelakar sungguh bila ingat balik. Yang buat kelakar dan ceria suasana tu, ada adik-adik sepupu yang duk tanya mana satu Abang Aiman, lepas tu keluar masuk bilik - sekejap mengintai si lelaki, sekejap duduk keliling duk berceloteh dengan Kak Iffah yang kegementaran ni.

 


 

Alhamdulillah, selesai pihak lelaki makan, akhirnya mereka masuk ke rumah dan perbincangan pun bermula. Adik-adik sepupu saya semua ikut sama khusyuk pasang telinga nak mendengar perbincangan yang tengah berlangsung dekat luar. Bangga dan syukur bila saya dengar adik sendiri baca doa dan buka majlis, alhamdulillah.

Dan akhirnya tibalah masa saya dipanggil ke luar. Awal-awal sebelum menunggu dalam bilik tadi, mak tam dengan Cik Ika dah pesan dan bagitahu nanti keluar je bilik terus salam semua ahli keluarga perempuan dari pihak lelaki. Terima kasih banyak-banyak pada mak tam dan Cik Ika sebab pesan dan bagi bimbingan.

 




 

Lepas saya duduk je dekat pelamin, bermulalah penyusunan dulang-dulang hantaran, sarung cincin dan gelang, dan berakhir dengan sesi tangkap gambar dengan keluarga. Masa ni, usik-menyakat datang dari dua-dua belah, lagi-lagi bila ambil gambar kami berdua. Baik dari pihak saya sendiri, dan dari pihak Encik Tunang juga. Jurugambar, Maisarah dan mak dak, berulang kali ingatkan saya dan Encik Tunang untuk senyum. Kelakar sungguh bila ingat semula sebab rasanya dah habis lebar senyum dah sepanjang ambil gambar tu. Terima kasih, Maisarah dan mak dak, sebab jadi jurugambar pada hari tu. Budi baik kalian sangat dihargai dan disyukuri.

 


 


















 

Alhamdulillah, Majlis Sarong Cincin kami berjalan lancar secara keseluruhan. Lauk cukup bahkan ada banyak lebih sampai ramai ahli keluarga yang dapat tapau, suasana meriah dengan senyum dan gelak tawa, tetamu dan tuan rumah pun gembira ceria semua. Masya-Allah, tak terucap dan terhitung kesyukuran saya kepada Allah. 

Selesai majlis ni, bermulalah fasa seterusnya meniti hati menuju akad. Kepada yang meluangkan masa untuk baca catatan blog ni, terima kasih saya ucapkan. Mohon doa majlis kami pada 25 Julai 2026 nanti dipermudah dan berjalan lancar. 

 

 

You Might Also Like

0 comments

Like us on Facebook