Ulasan: Lily, Layth & Musim Luruh.
Julai 20, 2022Assalamualaikum wrt wbt.
Cerita ini merupakan kisah pertama di dalam e-buku Nyata terbitan ZHR Resources yang telah diberikan secara percuma oleh salah seorang penulis e-buku tersebut. Kisah yang bertajuk Lily, Layth & Musim Luruh ini telah ditulis oleh Sophia Aster.
Apa yang saya suka:
Saya boleh bayangkan diri saya di tempat Lily kerana saya sendiri menghadapi situasi yang sama. Watak Lily dan Layth mempunyai perwatakan yang saya senangi, dan ia mudah melekat di dalam kepala.
Selain itu, saya juga suka gaya kepengarangan penulis. Ini terutama sekali cara penulis menggambarkan persekitaran dan suasana. Setiap gambaran alam sekitar dan warna yang dinyatakan terasa hidup. Sedikit sebanyak, ia mengingatkan saya kepada gaya kepengarangan Raiha Bahaudin. Kedua-duanya meninggalkan kesan yang sama kepada saya.
Kata-kata semangat yang Layth tuturkan kepada Lily turut saya gemari. Ia turut membantu saya secara tidak langsung. Saya rasa seperti penulis sedang mengucapkan sendiri kata-kata itu kepada saya, dan saya menghargainya.
Apa yang saya kurang suka:
Saya perasan beberapa ayat perbualan bahasa Inggeris di dalam kisah pertama ini mempunyai kesalahan tatabahasa yang mudah. Adakalanya juga, struktur ayat dan pemilihan perkataan terasa sedikit janggal apabila dibaca. Juga ada kesalahan ejaan yang berterusan; mengapai dan mengamit.
Walaupun saya dapat agak dan boleh faham kenapa akhirnya watak Layth itu sebenarnya wujud, saya tak dapat nak buang rasa hampa. Sejujurnya, saya mengharapkan Layth itu hanya cebisan imaginasi Lily kerana pada hemah saya jalan cerita itu lebih menarik. Tapi, ini hanyalah pandangan peribadi saya.
Kesimpulan:
Cerita ini keseluruhannya okey untuk saya, namun ia tidak meninggalkan kesan yang terlalu mendalam. Pun begitu, saya tetap berminat nak cuba membaca karya Sophia Aster yang lain pada masa depan nanti, in sha Allah.
Terima kasih untuk pemberian e-buku ni, ya! ^^
0 comments