Ulasan: 40 Hari Sebelum Izrail Datang Menjemput.
Julai 06, 2022Assalamualaikum wrt wbt.
Ini merupakan e-buku yang telah ditulis oleh pengarang yang bernama Amirul Mukmin. Diringkaskan, cerita ini mengisahkan Aziz yang dapat tahu dia mempunyai ketumbuhan pada otaknya dan dijadualkan menjalani pembedahan dalam masa 40 hari. Perkara ni telah menimbulkan keinsafan di dalam hatinya, dan dia bertekad nak memohon ampun kepada empat orang yang pernah dia zalimi sebelum beroleh kejayaan: ibunya, adik perempuannya, kawan baiknya, dan bekas kekasihnya.
Tanggapan pertama saya:
Tajuk yang terlalu panjang. Jenuh mulut saya nak menyebut dan susah tajuk tu nak melekat sebiji-sebiji dalam kepala saya. Saya cadangkan tajuk tu dipendekkan kepada 10-12 suku kata sahaja. Itu dah lebih dari cukup. Contohnya:
40 hari: Dijemput Izrail.
40 hari: Menunggu Izrail
40 Hari Menanti Izrail.
Detik 40 hari.
Sampai pada bab 2, saya jadi tertekan membaca ayat-ayat naratif watak utama. Selain ada ayat yang berulang, penulis telah menggunakan teknik beritahu secara berlebihan. Saya nak beri perumpamaan untuk perasaan saya sepanjang membaca buku ni. Dia rasa macam sambil saya tengok wayang, kawan sebelah bising pada saya apa yang tengah jadi dalam babak yang kami tengah tonton sama-sama!
Gaya kepengarangan dalam buku ni pada saya lebih kurang sama macam gaya Teme Abdullah, dan saya tak maksudkan ini sebagai satu pujian. Macam nilah tertekannya saya masa baca novel Empayar dan Empayar 2.
Ulasan penuh:
Secara keseluruhannya, saya suka premis, plot, dan mesej yang nak disampaikan dalam e-buku ni. Apa yang menyakitkan hati saya ialah gaya menulis dan gaya bahasa e-buku ni. Saya baca tak sampai separuh pada awalnya, dan berbulan kemudian baru saya ada daya nak sambung bahagian separuh kedua.
Kebanyakan masa, apabila watak Aziz memberitahu kisahnya dalam ayat naratif, dia suka mengulang-ngulang benda yang sama. Kadang-kadang, apa yang diulang tu berada dalam perenggan yang berturutan macam contoh tangkap layar dekat bawah ni:
Ada satu perenggan dalam e-buku ni yang saya kira sangat sesuai untuk menggambarkan gaya kepengarangan dalam e-buku ni secara menyeluruh.
Selain tu, ada banyak sangat ayat-ayat yang mempunyai struktur, penyusunan perkataan, dan aura yang pelik dan kurang sesuai. Contoh untuk ini saya senaraikan sahaja dekat bawah ni, ya? Tak ada tangkap layar untuk ni.
Aku perlu membuatkan mereka memaafkan aku sebelum aku terlambat. (m/s 37) - dari zahir ayat ni tak gaya ayat seorang pendosa yang ikhlas bertaubat. Malahan, ia kedengaran seperti ayat mendesak.
Ajalku masih lagi panjang. (m/s 75) - lebih baik letak umur (ganti ajal) atau jauh (ganti panjang).
Pasti sekarang ini dia akan percaya dengan perkara yang aku sedang sampaikan kerana dia tahu tiada orang yang suka menangis dengan sengaja. (m/s 392) - ayat ni kedengaran sangat manipulatif dan tak gaya macam ayat yang akan dituturkan oleh seorang pendosa yang ikhlas nak bertaubat.
Mungkin selama ni, aku tak kisah pasal dorang. Tapi lepas aku dah tahu yang aku dah nak mati. Aku tak sampai hati nak tinggal dorang macam tu je" (m/s 562) - ayat naratif Aziz yang ni pun tak menunjukkan keikhlasan dan kesungguhan dia nak bertaubat.
Mereka menerima ujian Allah dengan redha. Setahu aku, sifat mereka itu sememangnya patut dicontohi. (m/s 572) - ayat ni sangat ganjil disebabkan frasa berwarna merah tu.
Beralih ke isi seterusnya dan saya nak tekankan yang ni hanyalah pendapat peribadi saya - kalau nak sampaikan mesej-mesej dakwah kepada pembaca sebaiknya ia dilakukan secara tersirat dan juga dengan menggunakan teknik tunjuk, bukan beritahu. Masalahnya dalam e-buku ni, setiap kali Aziz menyampaikan naratif dakwah, ia seperti bebelan yang tak melekat dalam hati. Membaca pesanan dakwahnya terasa macam diceramah dan dibebel. Walhal, saya hakikatnya seorang yang suka dengar dan baca penyampaian dakwah! Saya sertakan satu contoh dekat bawah ni:
Saya tak kisah sangat kalau watak nak menyampaikan mesej dakwah macam ni. Masalah dengan watak si Aziz ni, setiap kali dia buat macam ni, dia dalam masa yang sama turut bagi tanggapan dan gaya yang ayat-ayat tu dituturkan dengan penuh kepuraan dan tak sedar diri. Ada masa rasa macam Aziz ni cakap tak serupa bikin.
Saya juga penat membaca satu-satu bab dalam novel ni sebab setiap satu bab hampir 30 halaman panjangnya! Kalau sepanjang itu satu bab, dan ada pecahan-pecahan babak, tak apa. Tapi, ini satu babak panjang yang berterusan sepanjang 30 halaman!
Lagi satu yang saya tak berkenan ialah, penulis tak menggunakan tempelan dialog (atau nama lainnya tag dialog) pada tempat-tempat yang sepatutnya. Saya juga tak faham kenapa penulis pisahkan dialog yang dituturkan oleh penutur yang sama dalam tiga perenggan yang berbeza.
Saya juga nak tekankan ada terlalu banyak kesalahan tatabahasa dan ejaan serta kesalahan aspek teknikal dalam e-buku ni. Ada imbuhan yang tersalah jarak dan rapat, ada perkataan dalam bahasa sing yang tak dicondongkan, tanda baca yang salah atau hilang terutama dalam dialog.
Pada penghujung cerita pula, tak sepatutnya ada lagi ayat naratif atau apa-apa ayat sekalipun selepas watak utama mati. Dia dah mati, macam mana nak menutur ayat naratif kepada pembaca? Cukup berhenti sampai situ, tak payah tambah dialog atau apa-apa lagi dah lepas dia mati. Kemudian letak pemisah dalam bentuk simbol ke apa ke, lalu barulah selitkan ayat Al--Quran pada hujung bab. Tak perlu buat dialog watak berceramah! Ia tak logik!
Kesimpulan:
Sekali lagi saya tekankan, saya suka premis, plot, dan mesej yang nak disampaikan dalam e-buku ni. Apa yang menyakitkan hati saya ialah gaya menulis dan gaya bahasa e-buku ni. Perasaan sakit hati saya pada gaya kepengarangan dalam buku ni mengatasi keberkesanan mesej baik yang nak disampaikan oleh penulis.
Sayang sekali.
Pesanan ikhlas buat saya kepada penulis, tolong banyakkan lagi membaca karya-karya fiksyen. Upah penyunting atau cari pembaca beta untuk buat semakan. Keseluruhan e-buku ni terasa seperti draf pertama yang tak sepatutnya terus diterbitkan dan dijual.
Saya minta maaf kalau ada terkasar bahasa dalam ulasan ni. Tapi, sebagai seorang pembaca yang keluarkan duit untuk beli e-buku ni, saya harap penulis faham yang saya berhak nak memberi ulasan walaupun bukan ulasan yang positif.
Tolong jangan putus asa dan rendah diri selepas habis baca ulasan saya ni. Jadikan ia pemangkin semangat untuk tambah baik kemahiran awak. Allah yaftah alaik.
0 comments