Kenapa saya sedih tengok majlis konvokesyen IIUM tahun ni.
Ogos 20, 2022Assalamualaikum wrt wbt.
Sejak 13 Ogos yang lepas, pekarangan kampus IIUM dibanjiri para siswazah ditemani keluarga dan sahabat masing-masing. Sudah terang lagi bersuluh, hadirnya mereka adalah untuk meraikan hari konvokesyen para siswazah ini. Akhirnya, setelah beberapa tahun berhempas-pulas menempuh alam pengajian, akhirnya segulung ijazah yang diburu itu dapat digenggam.
Tahniah saya ucapkan kepada para senior semua!
Saya tumpang berbahagia di atas kejayaan korang.
Kendatipun, dalam pada saya berasa gembira untuk para siswazah ni semua, hati saya kemudian menjadi sedih pula. Melihatkan kegembiraan yang terpancar pada wajah mereka meraikan rasminya saat mereka bergelar siswazah IIUM, saya baru tersedar akan nasib sendiri.
Saya yang terpaksa tambah dua semester.
Sebenarnya, saya malu nak berkongsi hakikat ni, tapi saya sejak tahun pertama entah bagaimana dah pasakkan habis dalam otak yang 'asal lulus dah cukup'. Tetapan minda sebegini membuatkan saya tak belajar bersungguh-sungguh sangat dan banyak ketinggalan berbanding rakan-rakan sekelas saya.
Selain tu, ada lagi beberapa faktor lain yang menyumbang kepada penambahan semester saya. Antaranya masalah canggung sosial saya, pengurusan masa yang tak jitu, tak memahami dan menguasai cara belajar yang berkesan dan betul, memberatkan diri dengan berlebihan fikir tentang mata pelajaran yang semakin rumit dan berat, dsb.
Tapi, kalau saya disuruh memilih satu faktor utama yang menjadi penyumbang terbesar kepada isu penambahan semester yang sedang saya hadapi ni ... Saya akan katakan faktor tersebut ialah masalah ketakutan dan keresahan melampau saya.
Sejak tahun pertama, bibit-bibit ketakutan dan keresahan melampau tu memang sudah ada sebenarnya. Akan tetapi, alhamdulillah pada tahun pertama dan kedua pengajian, ia masih di bawah kawalan saya. Saya masih mampu bangkit daripada rasa tertekan itu.
Namun, memasuki semester kedua pada tahun ketiga pengajian ... ketakutan dan keresahan melampau itu semakin memuncak. Saya mula melengah-lengahkan ulang kaji dan menyiapkan tugasan sebab terlalu takut.
Bodohkah saya masa tu?
Saya akui, ia perbuatan yang bodoh.
Tapi, mengertikah korang nasihat yang waras dan munasabah tak meninggalkan kesan kepada orang yang dikuasai ketakutan dan keresahan melampau! Saya terima saja kalau orang kata saya terlalu ikut perasaan takut dan resah masa tu. Saya iakan sajalah.
Ia kedengaran bodoh, tapi itulah yang saya rasakan pada masa itu. Tak mampu nak berbuat apa-apa disebabkan takut dan resah. Bila nak ulang kaji, otak saya fikir yang saya dah terlambat sangat, nak ulang kaji pun tak ada guna.
Bila saya kena menghadap tugasan pula, tekanan terlalu menghempap pundak saya sampaikan saya rasa nak menangis walhal tugasan tu kadang-kadang senang sahaja. Ditambah pula masa tu, kelas dalam talian, jadi saya berada di rumah. Saya kepenatan yang amat membahagikan masa antara beban pengajian dengan beban kerja rumah.
Tekanan saya semakin memuncak.
Jadi, saya buat keputusan untuk meluahkan pada ummi saya sebab ummi tempat mengadu saya. Harapan saya masa tu, dengan meluahkan kepada ummi, saya akan jadi lebih tenang dan dapat mengatasi resah dan takut saya.
✿ ✿ ✿
Sampai sini dulu kemas kini saya. In sha Allah, nanti saya sambung.
Terima kasih kepada mereka yang sudi membaca. Assalamualaikum.
0 comments