Ketika Tuhan bukakan pintu yang tak dijangka ...

Mei 17, 2025

Assalamualaikum wrt wbt,

23 Mac yang lepas, saya akhirnya 'tutup buku' akaun penagram saya. Saya umumkan yang akaun Ceritera Insta (projek akaun IG wadah berkongsi karya penulis pemula yang saya usahakan dengan kawan-kawan IG saya) akan dihentikan. Saya bubarkan kumpulan sokongan penulis yang saya buat. Dipendekkan, saya putuskan untuk undurkan diri daripada aktif di IG sebagai @hanis.menulis untuk masa ni.

 

 

Saya ada sebut yang saya bukan berhenti menulis langsung, cuma berehat sementara. Apa yang saya nak berhenti ialah kegiatan buat dan muat naik konten di IG tu sendiri. Saya makin malu dan segan nak berkongsi ilmu dan tip menulis yang saya belajar di situ, lagi-lagi lepas saya mula Latihan Dalam Kamar (LDK) saya, makin saya tak ada masa nak membaca, menulis, apatah lagi nak aktif di IG.

Bahkan masa aktif berkongsi tu pun, terlalu banyak emosi rumit yang menggamit dan menyukarkan saya untuk selesa dan berdamai dengan status dan keadaan diri sendiri. Rasa macam melebih-lebih berbanding penulis-penulis yang jauh lebih senior daripada saya, rasa macam tin kosong memandangkan saya tak ada pencapaian yang signifikan pun dalam dunia menulis ni, dan bermacam lagi perasaan yang mengganggu.

Dan sejujurnya ...

Saya makin sedar yang saya tak suka nak dikenali ramai orang. 

Sejurus saya umumkan saja pengunduran diri sementara daripada dunia penciptaan konten dan dunia menulis, bahu saya rasa ringan sangat. Saya rasa macam dilahirkan semula. Kahkah. Saya rasa macam hilang dah mata-mata dan jangkaan orang pada saya. Saya rasa cukup lapang untuk bertatih semula dan terus belajar dan mencuba bidang penulisan kreatif ni.

Saya dah bersedia sangat masa tu nak lesap langsung daripada kegiatan dan dunia menulis ni.

 ...

...

...

Sampailah tarikh 17 April. Ada seorang kenalan di X yang mesej saya dan bertanya tentang kegiatan menulis saya. Rupanya, cik tu editor perolehan daripada IMAN Publication. Skop kerja cik tersebut sebagai editor perolehan adalah untuk mencari penulis-penulis berpotensi. Dan betapa cuak dan gembiranya saya sebab tercampak masuk bawah radar cik tersebut.

Asalnya, cik tu minta saya kongsikan sinopsis penuh mana-mana mss saya yang sedang ditulis. Tapi lepas saya belek-belek buku catatan menulis saya, cerita-cerita yang tengah saya usahakan tak ada satu pun yang sesuai untuk saya hantar kepada IMAN. Jadi, mengambil ilham daripada hidup sendiri dan hati yang tengah walang, saya rangka satu sinopsis cerita baru.

Pada 29 April, saya hantarkan e-mel sinopsis penuh mss baru tersebut kepada cik editor tadi. Beberapa hari lepas tu, cik editor maklumkan saya yang IMAN berminat dengan cerita saya cuma ada beberapa perubahan yang mereka cadangkan.

16 Mei semalam, saya ber-Google Meet dengan cik editor untuk berkenalan dan untuk dia sampaikan maklum balas IMAN berkenaan cerita yang saya usulkan. Alhamdulillah, banyak benda saya belajar dan paling saya gembira, saya dapat kenalan baru dalam dunia menulis.

Jadi, sekarang apa dan macam mana? 

...

...

...

Jujur dari hati, saya sangat gembira dapat peluang ni. Dan lebih saya gembirakan sebab mss saya berpotensi untuk diterima, bukannya sahih diterima. Kalau "berpotensi diterima", adalah masa dan ruang untuk saya selami dan belajar semula sedikit demi sedikit ilmu penulisan kreatif, baca sumber yang rencam, dan kenali cerita saya sendiri.

Dan paling saya syukurkan, semangat, nyalarasa serta kecintaan saya kepada kegiatan menulis bercambah semula dan menyala-nyala. 

Insya-Allah, saya akan tekadkan hati dan tekalkan usaha. Saya suka menulis, dan saya tak terburu-buru mana pun nak merasa ada buku sendiri diterbitkan bawah mana-mana syarikat penerbitan besar. Kalau ada rezekinya nanti, adalah. Saya nak fokuskan penuh usaha pada masa sekarang, itu dulu.

Sekian sahaja catatan saya. Terima kasih pada yang sudi baca.

You Might Also Like

0 comments

Like us on Facebook