Perjalanan LDK seorang Hanis Afifah yang cacamarba

Mei 17, 2025

Assalamualaikum wrt wbt,

Sebelum saya mula menulis untuk catatan yang ini, saya buka balik catatan lama saya berkenaan LDK. Pada dua ke tiga bulan pertama LDK saya, semangat memang berkobar masa tu nak belajar dan memahamkan selok-belok dunia perundangan jenayah. Bukan hanya dunia perundangan tu sendiri, tapi ragam pelbagai orang - pesaing, kakitangan mahkamah, klien merangkap anak guam, dsb.

 

 
 

Memasuki bulan ketujuh dan ke atas, semangat saya mula turun berdikit-dikit. Saya sekarang dah mula nampak sedikit demi sedikit hakikat sebenar dunia litigasi jenayah. Betapa ramai pesaing yang suka main kotor dan hina, betapa kadang-kadang kakitangan mahkamah boleh jadi berat sebelah, betapa pada peringkat mahkamah rendah pun ada yang cari duit secara tidak beretika, betapa anak guam (dari latar belakang sederhana dan susah biasanya) takkan mampu dan cukup peduli nak hargai kerja-kerja kepeguaman dan kemudian ambil mudah dan laju nak larikan diri daripada bayar yuran guaman.

Itu belum cerita lagi tentang 'hutang-hutang' LDK saya. Soalan esei Ethics Course yang baru siap semalam, Legal Aid yang masih berbaki satu hari, Afidavit Penyampaian Perintah yang masih belum difailkan lagi, belum hadiri mana-mana program Selangor Bar yang wajib hadiri empat (minimum), dan macam-macam lagilah.

Hutang ni semua pada dasarnya memang salah saya sendiri juga. Ada masa resah, cuak dan takut terlalu hebat menguasai sampaikan saya jadi kaku dan tak boleh nak hadap hal-hal yang saya risaukan tu. 

Saya tahu. Saya faham. 

Bunyi macam alasan remeh, kan?

Tak apalah. Saya dah biasa dengan reaksi orang mengecil-ngecilkan perasaan risau dan takut saya. Hanya ada dua ke tiga orang dalam hidup saya yang sudi nak mengabsahkan perasaan risau saya, dan seterusnya bagi saya kata-kata semangat untuk teruskan melangkah.

Saya punya tahap tertekan dan risau hari tu, dah mencapai tahap saya dah terfikir nak hentikan LDK, tarik balik petisyen saya nak jadi Peguamcara & Peguambela. Jenuh dan puan kawan-kawan sekerja saya memujuk dan bagi kata-kata semangat pada saya (terima kasih Mr. Sonny dan Vishi). Alhamdulillah, lepas saya dah tenangkan diri dan jernihkan fikiran, saya singkirkan perlahan-lahan niat nak tarik balik petisyen saya tu.

Salah satu punca saya tertekan ialah bos saya sendiri juga. Biasalah tu, kan? Banyak kali saya degil tak buat macam yang bos saya minta. Selalu juga stres dengar bos saya membebel kadang-kadang. Tapi, saya bukanlah keras hati sangat. Saya boleh faham kerisauan dan tekanan bos saya. Saya cuba sebaik mungkin juga untuk usahakan apa yang bos saya minta. Dan paling penting, saya cuba luruskan hati buat apa-apa kerja Lillahi Taala, bukan sebab bos saya.

Susah nak ikhlas dan reda buat kerja kalau demi manusia, woi!

Lebih baiklah sandarkan kepada Allah semata-mata!

Apapun, pada saat saya menulis ni, semangat dan keinginan nak habiskan LDK tu lebih kuat berbanding dengan kerisauan dan ketakutan saya sebelum ni. Alhamdulillah.

 

Rancangan lepas habis LDK nanti

Bos saya memang pernah bagitahu yang dia nak serap saya jadi staf tetap dalam jabatan litigasi jenayah firma tempat saya LDK ni. Cuma masalahnya, saya tak yakin saya mampu nak mencapai sasaran atau jangkaan yang bos saya letakkan pada staf yang menyandang jawatan Legal Assistant. Ada banyak aspek berkenaan diri saya yang buat saya nampak saya hanya akan jadi liabiliti besar untuk jabatan ni kalau saya kekal di sini.

Saya juga ada berangan nak ambil DSLP atau nama penuhnya dalam BM: Diploma dalam Amalan Guaman dan Shari'ah. Kalau ambil DSLP, saya nak fokus sepenuhnya pada belajar. Tak nak dan tak berminat nak belajar sambil bekerja. Sebab saya tahu kemampuan saya takat mana.

Cuma satu benda yang saya boleh cakap, hati saya makin tak ada ruang dan tempat untuk dunia litigasi jenayah lepas apa yang saya sendiri nampak dan hadap sepanjang lapan bulan lebih LDK ni. Tapi, saya tak tahulah kalau-kalau Allah aturkan perjalanan macam mana untuk saya pada masa depan nanti. 

Allahhu mustaan.

 

You Might Also Like

0 comments

Like us on Facebook