­

Catatan sebulan lebih pertama Latihan Dalam Kamar (LDK)

September 15, 2024

Assalamualaikum wrt wbt,


Saya ingat lagi, masa umur saya lapan tahun, dengan yakin saya bagitahu orang sekeliling saya nak jadi doktor. Bukan tu saja, saya juga nak belajar perubatan di Universiti Al-Azhar di Mesir. Terinspirasi daripada mak cik dan pak cik sebelah ummi.

Masa tingkatan lima pula, lepas perkongsian oleh cikgu Sejarah saya dan juga kawan lama dulu, saya jadi terdetik dan berminat nak sambung belajar dalam bidang undang-undang. Alhamdulillah, keputusan UPU saya, saya diterima masuk ke pengajian asasi UIA. Dan sejak itu, bermulalah perjalanan pengajian undang-undang saya.

Sejurus habis belajar, saya masih ragu-ragu nak jadi peguam atau tidak. Saya rasa saya tak mempunyai personaliti yang sesuai dan kemahiran yang mencukupi nak bekerja sebagai seorang peguam. Disebabkan tu, saya sangat ragu-ragu nak menjalani LDK atau tidak.

Ditakdirkan Allah, ternyata saya memang masih berjodoh dengan dunia perundangan dan rupanya LDK memang jalan yang dah Allah tetapkan sebagai jalan yang terbaik untuk saya. Alhamdulillah, urusan lancar semua dan Allah lapangkan dada saya tercampak masuk bidang yang paling saya tak jangka akan masuk - litigasi jenayah.

Alhamdulillah, dah hampir dua bulan saya jalani LDK di firma Dzulkifli Jaafar Nizam & Co, cawangan Shah Alam. Saya bersyukur dengan kurniaan Allah. Di firma ni, bos saya okey, rakan-rakan sekerja pun baik. Saya juga dapat sesuaikan diri dengan mudah dengan gerak kerja jabatan litigasi jenayah firma ni.

 


 

Sepanjang LDK saya berjalan, banyak sungguh yang saya dah belajar. Tentang perundangan tu sendiri, ragam manusia daripada pelbagai latar belakang, persaingan dengan para peguam lain (firma lain, YBGK, dsb), ilmu komunikasi dan pemasaran kendiri, pemfailan borang LDK, pemfailan surat representasi dll di sistem e-filing, dan macam-macam lagilah.

Setakat sebulan lebih ni, ada nak dekat lapan kes yang paling melekat dalam kotak memori saya sebab saya sendiri yang hadap Majistret dan uruskan kes tu. Kebanyakannya kes dadah (memasukkan dadah/kes urin - seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya & memiliki dadah - seksyen 12 dan 6, akta yang sama). Ada juga sekali dua saya uruskan kes imigresen dan kes curi. Ada masa nanti, saya akan cerita secara rinci kes-kes yang dah saya uruskan sebelum ni, insya-Allah.

Gerak kerja bos saya memerlukan kami, para peguam pelatih di jabatan litigasi jenayah ni, tolong klien daripada A-Z. Maksudnya, kerja saya dan rakan peguam pelatih yang lain tak terhad hanya kepada wakili anak guam di dalam dewan mahkamah majistret. Kami akan tolong mereka dengan urusan buat jamin, ambil OKT daripada lokap mahkamah, bayar denda, buat pemulangan wang jamin, dsb.

Dalam catatan ni, saya cuma nak zahirkan rasa bersyukur saya sebab perjalanan hidup saya setakat ni memang tak terjangka dek akal akan jadi kenyataan. Segala pujian bagi Allah.

Rasanya, setakat ini sajalah dulu yang saya nak kongsikan. Insya-Allah, nanti-nanti saya akan kongsi lagi tentang pengalaman LDK saya. Apapun, terima kasih kepada kalian yang sudi baca catatan ni. Moga dirahmati Allah selalu.

You Might Also Like

0 comments

Like us on Facebook