Titik-titik perubahan besar 2025
Mac 29, 2025Assalamualaikum Wrt Wbt,
Dah enam bulan berlalu sejak kali terakhir saya kemas kini blog ni. Ayat ni sangat klise, tapi saya tetap akan gunakannya, terlalu banyak benda yang dah berlaku dalam tempoh enam bulan ni. Dan setiap satu perubahan itu memberi kesan yang besar kepada hidup saya.
Lulus ujian JPJ
Alhamdulillah, selepas gagal ujian pertama JPJ, saya berjaya lulus dengan cemerlang dalam ujian kali kedua! Ujian pertama tu, saya gagal sebab tak lepas parking sisi dekat litar. Dan saya digagalkan dekat ujian jalan raya sebab saya tak berhenti cukup lama di pagar keluar sekolah memandu.
Bapak sedih masa tu. Satu, sebab dalam masa ni saya belum bekerja. Jadi, duit untuk apa-apa bayaran tambahan berkaitan lesen macam ujian JPJ semuanya dapat daripada ummi saya. Kedua, masalah dalaman saya sendiri. Saya rasa tertekan sangat dan terlalu risau kalau -kalau saya tak lepas sampai bila-bila.
Tapi, alhamdulillah, dengan izin Allah, ujian JPJ kali kedua pada tarikh 20 September 2024, saya berjaya lulus. Saya masih ingat dengan segar betapa cuaknya saya nak letak kereta secara sisi dalam kotak. Berdebar tak sudah. Dahlah dengan ada pegawai JPJ yang jaga kawasan situ.
Dan saya syukurkan juga, memandangkan saya dah ada lesen sekarang, senang saya nak bergerak ke mana-mana sendiri. Memandangkan keadaan memaksa, lama-lama saya belajar dan dah reti guna Google Maps sendiri sekarang.
Abi saya dah meninggal dunia
Ini perubahan terbesar dan yang paling dalam meninggalkan kesan pada saya. Abi saya meninggal dunia pada 27 Januari lepas, dalam ambulans semasa perjalanan balik ke rumah. Sebelum abi hembuskan nafas terakhir, ada setitik air mata yang mengalir pada pipi kanan abi lepas ummi saya bagitahu yang kami dah sampai Klang.
Tak sehari berlalu tanpa saya teringat, rindu, dan menangisi ketiadaan abi saya. Rezeki saya, Allah pinjamkan abi hanya untuk tempoh 25 tahun 1 bulan. Tempoh yang nampak panjang, tapi terasa sangat pendek.
Setiap kali saya kenangkan yang detik-detik besar dalam hidup saya pada masa depan nanti bakal dilalui tanpa abi di sisi, setiap kali itu juga saya rasa terkaku sekejap dan teringat akan kenyataan yang pahit tu.
Betullah yang abi saya dah pergi.
Kepada yang baca catatan ni, mohon doakan saya sekeluarga kuat sentiasa, ya?
Latihan Dalam Kamar dah nak menghampiri penamat

Dah hampir genap lapan bulan saya menjalani LDK. Banyak salah dan silap yang dah saya buat. Dan tak macam masa belajar dulu, apa-apa kesilapan atau kesalahan yang saya buat dalam tempoh LDK ni sememangnya meninggalkan kesan dan akibat yang perlu saya hadap.
Rehatkan akaun @hanis.menulis untuk sementara
Saya rasa saya dah tak lagi nak teruskan kegiatan mencipta konten di IG, khususnya untuk akaun penagram saya ni. Lebih tepatnya, saya nak berkongsi secara santai saja di IG buat masa ni. Saya tak nak kejar apa-apa pencapaian berbentuk nombor, belajar dan fahamkan tentang algoritma, dan sebagainya.
Alhamdulillah, buat masa ni hati saya tenang berkongsi di IG begini. Apa yang akan jadi pada masa depan saya tak tahu, tapi sekurang-kurangnya untuk hari ni, hati saya tak serabut lagi.
Sepanjang saya aktif sebagai @hanis.menulis, ada banyak masalah dalaman macam keyakinan rendah, keraguan diri melampau dan macam-macam lagi yang mengganggu saya. Saya selalu rasa saya tak layak berkongsi, rasa macam tin kosong, rasa macam lebih sudu dari kuah, dan macam-macam lagi.
Hampir setiap hari saya lawan perasaan ni semua, dan saya dah penat. Lepas saya undur diri dari akaun tu,terus saya rasa lapang dada yang amat. Dan saya rasa dapat ruang untuk belajar dan meneroka semula ilmu penulisan, mencuba dan terus mencuba walau gagal, tanpa 'dilihat' berpasang-pasang mata dalam alam maya.
***
Sekian saja yang saya nak catat untuk kemas kini kali ni.
Terima kasih kepada yang sudi membaca.
0 comments