Ini cerita setakat Jun 2024 Hanis Afifah ...
Jun 22, 2024Assalamualaikum wrt wbt,
Lama dah rasanya tak menulis catatan tentang hidup sendiri di blog ni. Jadi, kemas kali yang ini akan saya kongsikan sikit kemas kini dan perkembangan hidup saya. Kepada yang berminat dan yang sudi luangkan masa membaca, terima kasih saya dahulukan.
Pengajian di AIKOL, IIUM.
Lebih sebulan yang lepas, saya masih lagi menyandang status pelajar di AIKOL, khususnya pelajar dwi-ijazah, undang-undang Syariah, atau nama lainnya LL.B(S). Tapi, pada akhirnya saya putuskan untuk tak teruskan pengajian ijazah sarjana muda kedua tu.
Faktor utama saya berhenti pengajian LL.B(S) ialah saya dah tak larat nak teruskan pengajian. Saya dah kongsikan dalam catatan-catatan lama sebelum ni tentang semester tambahan (dua semester tepatnya atau tambah setahun pengajian) yang saya perlu ambil atas sebab beberapa mata pelajaran yang saya gagal.
Masuk minggu ke-7 semester pertama pengajian LL.B(S) saya, saya dapati diri saya masih lagi sama macam diri saya yang dalam empat ke lima tahun pengajian LL.B. Dan saya tahu berdasarkan corak kelakuan dan tingkah laku saya pada masa tu, kemungkinan besar saya akan kena tambah semester juga untuk pengajian LL.B(S) ni.
Jadi, saya pilih untuk tak teruskan pengajian. Dan pada masa yang sama, saya mula terfikir yang mungkin saya perlukan suasana dan 'faktor penolak' baru untuk saya berubah jadi lebih berdisiplin. Dalam kata lain, saya nak rasa dunia bekerja pula.
Pun begitu, saya tetap ada niat nak dapatkan sijil dalam undang-undang Syariah satu hari nanti, Mungkin bukan dalam masa terdekat, tapi insya-Allah, saya akan usahakan juga!
Tentang menulis dan penciptaan konten di IG ....
Sejak pertengahan tahun lepas, banyak kekalahan dan penolakan yang saya hadapi. Dan dalam masa yang sama, ramai kawan penulis saya yang dapat capai kejayaan yang saya dambakan untuk diri sendiri. Dapat terbit buku dengan penerbit besar, buku sendiri masuk ke kedai buku, dsb.
Saya tahu saya lemah - dalam bab kemahiran mengarang cerita dan juga dalam bab berbahagia untuk kejayaan orang lain. Jadi, saya putuskan untuk log keluar akaun IG @hanis.menulis dan berhenti berkongsi di situ. Dengan saya yang masih di takuk sama, saya betul-betul rasa tak layak nak terus berkongsi tentang ilmu menulis.
Alhamdulillah, saya reti menulis, tapi saya tak tahu apa-apa sangat tentang industri buku Malaysia, saya agak pemalu nak berkawan dengan penulis-penulis yang saya kenal di IG, dan jujurnya saya hampir berhenti menulis disebabkan isu rendah diri saya.
Saya nak ucapkan terima kasih kepada sedaghe Ghazal Fansuri, Qan dan Syu ('adik-adik angkat' saya di IG, saya je yang panggil diorang begini sebab jauh sangat jarak usia nak panggil kawan huhu), Dr. Fahd Razy, dan diri saya sendiri juga sebab beri semangat kepada saya untuk tak berhenti menulis.
Jadi, rancangan saya buat masa ni nak fokuskan banyak membaca dan banyakkan menulis. Insya-Allah, sambil-sambil tu saya akan usahakan manuskrip semampu saya.
Berbeza dengan fokus saya sebelum ni, kali ni saya tak nak kejar hasil sangat dah. Saya tak nak letak pencapaian yang wajib dicapai pada usia sekian-sekian. Saya nak fokus pada tingkatkan kemahiran diri je, insya-Allah.
Oh, ya! Saya masih aktif di IG, tapi hanya di akaun peribadi saya dan akaun bukugram saya. =)
Tentang kehidupan secara umum ....
Gambar tak ada kaitan pun. Saja letak Hahahahah.
Selama sebulan lebih, saya menjadi penanam anggur yang berjaya di rumah. Tapi, tidaklah saya sekadar membongkang dan menternak lemak di rumah. Oh, tidak!
Selain menjadi suri rumah de facto hampir sepenuh masa, saya tengah dalam proses nak ambil lesen kereta. Saya berlengah nak tempah slot ujian litar sebab resah dan cuak nak hadap ujian tu. Hahahah. Bawa kereta tu sendiri, saya okey. Tapi, bab ujian-ujian ni, lemah betul lutut saya. Kahkah.
Selain tu, saya tengah usahakan nak ambil kelas maya percuma untuk belajar Microsoft Excel. Walaupun saya cukup menyampah dengan perisian komputer yang satu ni, saya tak boleh nafikan kepentingannya. Jadi, elok jugalah saya rasa luangkan masa sikit untuk belajar gunakan Excel.
Resume saya pun dah hampir siap. Tinggal nak sunting dan cantikkan sikit isi, kemudian nanti saya akan mula hantar untuk buat permohonan latihan dalam kamar (chamber) di firma yang tak jauh dari rumah.
Rumusan
Kalau tanya diri saya pada tahun 2016, masa baru habis SPM dulu, saya akan jawab yang saya tak terbayang langsung saya akan berjaya masuk UIA dan dapatkan gelaran siswazah AIKOL.Alhamdulillah, dengan izin Allah, dan berkat doa ummi abi, saya sampai juga ke tahap ni.
Biasa sangat saya dengar umur 25 ni umur yang kritikal untuk belia. Dan sejujurnya, saya boleh faham kenapa. Kecenderungan nak bandingkan diri dengan rakan-rakan sebaya dan ahli keluarga terdekat tu memang tinggi.
Tapi, nak buat macam mana lagi, kan? Itulah ujiannya. Moga Allah mudahkan saya dan korang yang menghadapi isu yang sama.
Itu saja catatan saya untuk kali ni. Terima kasih kepada yang sudi baca.
0 comments