Ulasan: Pasti Ada Kamu oleh Hana Norisa

Mac 02, 2024

Assalamualaikum wrt wbt,

Novel PAK mengisahkan perkenalan Yasmin Humaira dan Kang Noah yang bermula di rumah kawan baik Yasmin, Alysa. Berkumpulnya mereka di situ kerana hendak meraikan perkahwinan abang Alysa yang juga merangkap abang angkat Yasmin dan kawan baik Noah.

Kembalinya Yasmin ke rumah sendiri, kejadian buruk tidak terduga menimpa. Dia tidak punya tempat untuk meminta pertolongan, lalu Noah datang menghulurkan bantuan. Pada permulaan, sukar untuk Yasmin menerima, akan tetapi, keadaan yang mendesak membuatkan dia terpaksa jua menyambut huluran bantuan lelaki asing yang baru dikenali melalui abang angkatnya itu.

Tanggapan pertama yang muncul selepas baca blurb pada kulit belakang novel ni ialah akan wujud trop cinta segi tiga dalam cerita ni antara Yasmin, Noah dan iseul. Tapi, ternyata itu tidak berlaku sama sekali. Malahan, cerita ni berjaya memberi saya lebih daripada sekadar kisah cinta - satu nilai yang sangat saya hargai dalam cerita cinta terutamanya.

→ LARAS BAHASA

Laras bahasa novel ni bersifat moden, namun ia tetap mampu mencengkam jiwa saya selaku pembaca. Gaya kepengarangan yang digunakan dalam novel ni ialah gaya standard kebanyakan novel moden dan aliran utama. Ia juga bersifat teratur dan mudah serta sedap dibaca.


→ PLOT & JALAN CERITA

Secara keseluruhannya, saya seronok sangat membaca dan mengikuti perkembangan dan arah plot dalam PAK. Aspek penting plot seperti sebab-akibat memang jelas dalam novel ni, dan setiap pilihan yang watak buat tidak dibiarkan tergantung saja. Apa saja perbuatan mereka, ada kesan yang berlaku selepas itu. Selain tu, kronologi plot juga tersusun kemas.

Selain tu, bibit-bibit dalam novel ni semua ada kepentingan serta kesan terhadap plot. Ia juga dirangkumkan dengan baik seiring cerita berjalan. Contohnya, ada babak Noah gunakan dron untuk rakam video. Beberapa halaman kemudian, ternyata dron tu ada kepentingan kepada plot. Disebabkan dron tu, kehilangan Yasmin berjaya dirungkaikan.

Ada beberapa babak dalam novel ni yang buatkan saya sangka penulis akan gunakan trop tipikal cerita cinta (khususnya trop “tak macam perempuan lain” dan trop “hubungan palsu”). Tapi, akhirnya ia tidak lebih daripada sekadar selingan sahaja. Dan betapa saya gembira ia sekadar selingan.

Apa yang paling saya suka dan hargai dalam novel PAK ni ialah perjalanan jatuh cinta yang dilalui Yasmin dan Noah. Ia berlaku secara beransur-ansur dan matang. Kedua-dua watak diberi masa untuk saling mengenali sebelum mereka akhirnya mengakui dan meluahkan perasaan masing-masing. Kebanyakan babak romantik dalam novel ni tak terasa dipaksa dan tak berlebihan (kecuali pada beberapa tempat - pandangan peribadi saya).

Kecuali bab 53 hingga penamat, saya berpendapat konflik cerita ni disusun dan dirungkai dengan baik dan tertib. Bermula daripada bab 53, konflik-konflik dan pintal alur yang muncul terlalu rawak bagi saya, dan akhirnya ia tak meninggalkan kesan yang mendalam sangat. Ia terasa agak mendatar dan laju dirumuskan, tapi saya terima sajalah.


→ WATAK & PERWATAKAN

Yasmin seorang gadis yang tekal, keras kepala, kadang-kadang macam tak ada perasaan. Tapi, melalui pendedahan masa silam Yasmin sedikit demi sedikit, saya jadi faham kenapa Yasmin boleh berperangai sebegitu. Antara sifat Yasmin yang saya suka ialah kegigihan dia kalau buat sesuatu dan juga kecerdikan dia. Kedalaman perwatakan dan latar belakang Yasmin terutamanya sangat memuaskan hati saya.

Noah, pada awalnya terlalu bendera hijau untuk saya. Tapi, lepas dapat tahu tentang masa silam dia, baru saya nampak kelemahan watak ni dan saya sangat lega sebab manusia yang sempurna tu cuma Rasulullah SAW. Untuk saya yang kadang-kadang rabun mata hati ni, kelemahan Noah sebagai seorang individu sangat tersirat. Perlu diperhati betul-betul, baru boleh nampak.

Saya juga suka kimia antara Yasmin dan Noah. Ia bersifat semula jadi. Dan lebih seronok lagi, mereka saling tolong-menolong dalam perjalanan masing-masing untuk menjadi individu yang lebih baik. Jadi, bila mereka bersama pada akhirnya, saya terasa sangat puas hati.



→ SELINGAN TEGURAN

Sebagai seorang Muslim, saya kena suarakan tentang hal ni, bab ikhtilat dan khuluwwah dalam novel ni. Ia tak digambarkan sebagai sesuatu yang salah, malah dinampakkan lagi perbuatan sebegitu sebagai perbuatan yang romantik dan manis. Ini saja teguran saya untuk novel ni.

Kalau boleh, untuk karya-karya akan datang, saya harap penulis boleh jaga batasan ikhtilat antara watak dan cuba elak nampakkan perbuatan berduaan dengan ajnabi tanpa sebab kukuh sebagai satu benda yang boleh dibiasakan dan tak melanggar syariat.



→ PENUTUP

PAK merupakan sebuah karya yang sangat indah (waima ada kekurangan di sana dan di sini) dan novel ni banyak beri inspirasi kepada saya, terutama dalam bab penulisan - melalui olahan penulis sendiri dan juga melalui perjalanan watak-watak utama.

Dan disebabkan itu, saya akan sarankan para pencinta cerita cinta untuk baca novel ni. Sangat berbaloi pengalaman membaca yang akan korang lalui nanti, insya-Allah.

Sekian saja ulasan saya.
Terima kasih kepada yang sudi baca sampai habis.

You Might Also Like

0 comments

Like us on Facebook