Siri aksi langsung Avatar: The Last Airbender (2024), okey atau tidak?

Februari 25, 2024

Assalamualaikum wrt wbt,

Ia bukan sesuatu yang saya malu atau rahsiakan: saya salah seorang peminat tegar siri animasi Avatar: The Last Airbender yang mula ditayangkan di Malaysia semasa saya bersekolah rendah lagi. Dulu saya nampak siri animasi ni sekadar kartun sahaja, tak lebih daripada itu. 

Tapi, lepas saya perhati dan analisis semua cerita animasi dan tengok video ulasan yang rencam di Youtube, baru saya tersedar yang animasi hanyalah sebuah wadah. Ia tak terhad hanya untuk kanak-kanak, walaupun itu kebiasaan dan pandangan umum.

 Made an ATLA poster as there aren't enough... CC welcome :  r/TheLastAirbender

Setakat hari ni, dah 3 setengah kali saya khatam tengok yang siri animasi. Apa yang paling saya hargai ialah, dengan setiap tontonan, perspektif saya bertambah lapisan setiap kali selepas menonton. Kali pertama tengok, saya hargai jalan cerita yang sangat menarik dan animasi yang sangat jitu.

Kali kedua dan ketiga tengok, saya belajar menghargai perjalanan arka setiap watak. Bagaimana jauh perubahan dan titik pencapaian mereka pada Buku ketiga berbanding Buku Pertama. Tontonan kali ketiga juga lebih dekat dengan jiwa sebab baru saya nampak isu-isu kedewasaan dalam siri animasi ni yang sangat dekat dengan diri saya sekarang.

Jadi ... boleh bayangkan tak betapa risaunya saya bila Netflix umumkan yang mereka bakal buat adaptasi aksi langsung daripada siri animasi kesayangan saya ni?

Rekod dan sejarah adaptasi aksi langsung Netflix pula kebanyakannya mengecewakan. Yang paling okey pun One Piece saja, pada pandangan saya.

 Avatar: The Last Airbender (2024 TV series) - Wikipedia

Pun begitu, walau secuak mana saya rasakan, saya cuba untuk bersikap optimistik. Mana mungkin Netflix akan ambil risiko untuk hasilkan siri yang lebih teruk daripada filem yang tak wujud dalam Ba Sing Se tu (siapa yang faham, fahamlah).


Avatar: The Last Airbender (2024)

Saya kongsikan sedikit sahaja sorotan daripada episod satu siri aksi langsung ni *jumlah episod ialah lapan). 

Siri ni dibuka dengan babak tentera Negara Bumi yang bergelut nak sampaikan rancangan Kerajaan Api yang ditadbir oleh Sozin kepada Maharaja Bumi. Babak seterusnya pula menyaksikan para sami dan pelajar di Kuil Angin Selatan yang sedang bersiap sedia hendak menyambut Pesta Komet. Pada hari yang sama, Aang diberitahu oleh Gyatso sendiri bahawa dia ialah Avatar yang seterusnya. 

Rasa terbeban dengan pendedahan tu, Aang dan Appa pergi terbang keluar sebentar nak tenangkan diri. Tidak lama kemudian, tentera Sozin datang menyerang dan membunuh semua para sami dan pelajar di Kuil Angin Selatan. Manakala, Aang pula terperangkap dalam ribut. Namun, dia dan Appa diselamatkan oleh Paduan Avatar.


Beberapa perbezaan utama siri ATLA 2004-2008 dan ATLA 2024

  • Siri animasi dibuka dengan babak Sokka dan Katara. Manakala, siri aksi langsung dibuka dengan kejadian yang berlaku sebelum Aang terpilih menjadi Avatar.
  • Dalam siri animasi, Aang diberitahu oleh sekumpulan sami yang dia ialah Avatar seterusnya. Tapi, dalam siri aksi langsung, hanya Gyatso yang menyampaikan berita tu.
  • Dalam siri animasi, Aang larikan diri selepas dia capai puncak tertekan bila dia terdengar yang Gyatso bakal dipisahkan daripada dia. Dalam siri aksi langsung, dia cuma berniat nak pergi sekejap sahaja sebab nak tenangkan diri.
  • Aang dalam siri animasi (khususnya Buku Pertama) merupakan seorang kanak-kanak yang masih nak berseronok. Tapi, dalam siri aksi langsung, sisi matang Aang lebih mendominasi.
  • Dalam siri animasi, sebelah muka Zuko dibakar oleh Ozai dari jarak yang jauh. Tapi, dalam siri aksi langsung, Ozai berdiri betul-betul di sebelah Zuko semasa dia bakar sebelah muka Zuko.
  • Azula dalam siri animasi sejak awal tak bergelut untuk diiktiraf dan tak pernah diuji oleh Ozai, namun dalam siri aksi langsung ni Azula bergelut sejak awal nak diperakui dan diiktiraf oleh Ozai.
  • Dalam siri animasi, Avatar lampau pertama yang Aang hubungi ialah Roku, manakala dalam siri aksi langsung Avatar lampau pertama yang Aang hubungi ialah Kyoshi.
  • Sokka pandang rendah pada Pahlawan Kyoshi di Pulau Kyoshi dan jadi rendah diri bila dia dapat tahu mereka rupanya perempuan, tapi apa yang jadi dalam siri aksi langsung, jantina Pahlawan Kyoshi tak jadi isu pada Sokka, cuma perbezaan skala tanggungjawab antara dia dan Suki. 
  • Watak Sai, Teo, dan Jet diletakkan di dalam satu lokasi yang sama dalam siri aksi langsung iaitu Omashu. Dalam siri animasi, Sai dan Teo di Kuil Angin Utara dan Jet pula di perkampungan yang dijajah Negara Api.
  • Dalam siri animasi, Bumi okey saja dengan Aang. Tapi dalam siri aksi langsung, Bumi simpan rasa marah pada Aang sebab dia menghilang selama 100 tahun.
  • Dalam siri animasi, Aang tak ada bertemu dengan Avatar Kuruk untuk dapatkan bantuan tentang macam mana nak pertahankan Puak Ais Utara.

Ada banyak lagi perbezaan, dan bahkan sebenarnya terlalu banyak. Tapi, hanya ini yang saya larat nak kongsikan dalam catatan blog ni. Ada beberapa perubahan yang saya suka, dan ada yang macam entah apa-apa.

Contoh yang saya tak berapa gemar, perubahan dan pertembungan lokasi watak Sai, Teo, dan Jet, perubahan perwatakan teras Aang, Katara, Bumi, Roku, dan Azula, kenapa Roku ramas totem ibu Koh daripada koh, dll.

Ada juga perubahan yang saya hargai, macam perwatakan Ozai yang jauh lagi keji dalam siri aksi langsung, ada babak pengebumian Lu Ten, latar belakang divisyen 41 yang diselamatkan oleh Zuko, Gran Gran yang serahkan skrol pengolahan air kepada Katara, dan beberapa perubahan lain yang saya tak teringat.


Kesimpulan:

Netflix avatar cast : r/TheLastAirbender

Bila saya baca ulasan para peminat yang lain, kebanyakan daripada mereka tak benci tapi juga tak berapa okey dengan adaptasi terbaru Netflix ni. Macam saya juga, ada perubahan yang mereka suka dan ada yang mereka tak suka.

Untuk saya yang malas nak peningkan kepala dan sedar ini cuma hiburan keduniaan, saya berpendapat siri aksi langsung ni perlu ditonton dengan minda terbuka. Kena ingat satu benda ni, penulis siri aksi langsung ni mengambil pendekatan yang berbeza berbanding dengan siri animasi tetapi nak mencapai tujuan cerita yang sama.

Markah akhir saya untuk siri aksi langsung Netflix ni ialah: 6.5/10. Dalam kata lain, ceritanya okey sajalah. Tapi, patutnya Netflix boleh buat lebih baik daripada tu. Dan sangat tak patut mereka biarkan penulis asal ATLA tinggalkan projek ni. Sayang sangat.

Sekian saja catatan saya kali ni. Terima kasih kepada korang yang sudi baca sampai habis. <3

You Might Also Like

0 comments

Like us on Facebook