­

Ulasan: Menebus Rindu oleh Hany Hisham Musa

Ogos 04, 2023

 

 

Tanggapan pertama:

Habis baca bab pertama novel ni, saya jatuh suka dengan bahasa berbunga dan puitis yang digunakan oleh penulis. Selain tu, saya berpendapat yang penulis sangat mahir dalam memberi gambaran rinci sehingga ia begitu jelas dalam imaginasi saya semasa membaca.

 

Amaran! 

Ada bocoran awal dalam ulasan ni.

 

Ringkasan jalan cerita:

Kisah ini bermula dengan Azim yang mencari pemilik sekeping gambar yang pernah ditemuinya dulu. Empat bab pertama berjumlah 67 halaman didedikasikan khusus untuk pencarian Azim dari saat ia bermula hinggalah ke saat dia bertemu semula dengan Khadija, pemilik asal gambar yang disimpan oleh Azim selama ini.

Habis sahaja membaca bab ini, saya menjangkakan plot akan bergerak ke masa depan. Tapi, apa yang berlaku ialah penulis mengetengahkan kisah silam Khadija pada lima tahun lepas - arah cerita yang langsung tak saya jangka. Kemudian, kisah silam Azim pula yang diceritakan dan menghampiri penghujung kisah silam Azim, di situlah titik pertemuan pertama kali Khadija dan Azim.


Pendapat jujur:

Jujurnya, pada hemah saya, jalan cerita novel ni menarik dan memang sarat dengan emosi yang pasti dapat menggamit hati pembaca. Azim dan Khadija sebagai watak utama juga sangat saya suka kerana perwatakan mereka yang terasa nyata dan hidup. Perjalanan mereka mencapai arka watak masing-masing sangat memuaskan hati.

Pun begitu, emosi saya tak dapat nak menghayati jalan cerita novel ni sebab tenaga mental saya banyak dihabiskan membaca ayat-ayat naratif yang lewah. Sebahagian besar ayat naratif dalam novel ni banyak dihabiskan dengan gambaran emosi dan latar yang rinci berbanding menggerakkan plot. Selain tu, ada juga ayat-ayat yang mempunyai inti pati sama tapi kerap diulang dalam satu perenggan.

Ditambah pula halaman bab yang sangat panjang dan peralihan babak yang jauh jaraknya antara setiap satu, kebanyakan masa nafas saya rasa macam tak cukup dan saya jadi penat nak habiskan baca satu-satu bab tu. Hanya sampai separuh atas halaman 286, saya ada daya nak baca dan hadam satu demi satu patah perkataan yang tercetak.

Bermula pada separuh bawah halaman yang sama, saya dah mula baca secara melangkau sebab saya dah tak tahan nak menghadam ayat yang lewah. Rasa sayang sangat sebab banyak babak-babak yang kaya dengan emosi pada bab-bab selepas itu. Tapi, saya dah penat sangat. Saya dah tak sabar nak habiskan baca buku ni. Kalau saya gagahkan diri juga nak hadam setiap satu patah perkataan, saya rasa tenaga mental saya akan habis sebab rasa macam jauh sungguh garisan penamat.

Walaupun saya hargai kepentingan kisah silam Khadija dan Azim diceritakan secara rinci, saya rasa sayang sangat sebab hampir 200 halaman lebih berlalu tanpa interaksi langsung antara kedua-dua watak utama. Interaksi antara Azim dan Khadija hanya berlaku dalam 100 lebih halaman. Itu tak cukup untuk saya menikmati dan menghayati perkenalan mereka berdua. 

 

Kesimpulan:

Penulis memang mahir menggunakan ayat-ayat berbunga dan puitis dalam cerita ini, menulis watak yang hidup dan menggarap ayat yang sarat dengan emosi. Namun, keindahan bahasa dan kelebihan tu semua tenggelam dan hilang dek kepenatan saya membaca ayat-ayat yang lewah.



You Might Also Like

0 comments

Like us on Facebook