Malam sebelum hari pertama menjadi pelajar pengulang secara rasmi.

Oktober 10, 2022

Assalamualaikum wrt wbt.

Hari Isnin bersamaan 10 Oktober merupakan cuti umum bersempena Maulidur Rasul. Disebabkan itu, hari Isnin yang sepatutnya menjadi hari berjalannya kuliah seperti biasa tak berjalan seperti biasa. Walaupun cuti umum dan tak ada kelas, saya taklah melepak dan bersenang-senang dalam bilik pun sebab saya buat kerja sambilan dekat kiosk mahallah semester ni.

Beberapa minggu sebelum tiba semester ni pun saya dah tak senang duduk dekat rumah. Mulut saya asyik mengunyah sedang tangan saya sibuk memasak sebab nak menghilangkan resah. Resah kenapa? Resah sebab semester kali ni cabarannya sangatlah berbeza dengan semester-semester saya yang lepas. 

Bukan sahaja saya mengulang kembali beberapa mata pelajaran yang saya gagal sebelum ni dan ambil mata pelajaran syariah tahun ketiga yang saya tak sempat ambil sebelum ni, saya akan bertemu balik beberapa orang pensyarah yang mengajar saya sebelum ni, saya akan sekelas dengan pelajar-pelajar junior, saya kena tebalkan muka menghadap rakan-rakan satu nombor matrik yang dah jauh ke depan, dan macam-macam lagilah.

Satu lagi hal yang saya resahkan ialah mata pelajaran Usul Fiqh 3 yang saya ambil semester ni sebab pensyarah kelas ni ialah orang Arab dan bahasa Arab saya masih merangkak dan terkapai-kapai lagi. Apa yang saya mampu buat cumalah usaha dan terus usaha supaya kemahiran bahasa Arab saya bertambah baik dari masa ke masa.


Stigma menyelubungi pelajar yang kena lanjutkan semester.

Saya rasa tak perlu saya huraikan dengan lanjut pun ramai dah maklum akan stigma biasa orang ramai terhadap pelajar yang sama nasib macam saya. Jujurnya, saya sangat malu nak bagitahu pada orang-orang sekeliling saya yang saya lambat lagi habis belajar sebab nak kena tambah semester lagi. Rasa jatuh air muka bila orang buat muka kesian atau pandang serong bila saya kongsikan situasi pengajian saya sekarang.

Tak dinafikan memang ada pelajar yang memenuhi stigma orang ramai ni, tapi jangan sesekali kita lupa ada yang bukan sahaja tak memenuhi stigma tu justeru jauh sangat dari apa yang orang sangkakan tentang mereka pada awalnya. 

Sayalah tu salah seorang yang tak memenuhi stigma orang ramai tu. Kali pertama saya gagal mata pelajaran teras beberapa semester lepas punca utamanya ialah masalah keresahan melampau dan keputusasaan saya. Disebabkan mental saya lemah sangat masa tu, saya biarkan diri saya dikuasai kedua-dua tu sampai ia memberi kesan kepada pengajian saya.


Susah nak ditelan: ada hikmah kenapa ini terjadi.

Selain rasa malu dengan orang sekeliling, saya juga rasa ketinggalan yang teramat. Kalau diikutkan, ini sepatutnya jadi semester terakhir saya bersama rakan-rakan sekuliah 182 yang lain. Tapi, apakan daya. Disebabkan keculasan saya dulu disertai pula keadaan mental yang agak bercelaru, pelan pengajian saya berterabur dan saya kena lanjutkan semester.

Adakah saya menyesali masa lampau saya?

Sisi kemanusiaan saya tak memungkinkan saya terlepas daripada perasaan menyesal walaupun sedikit. Namun, masa tak boleh diputar kembali. Tak kisahlah berapa kali saya nyanyi lagu AXL dan betapa kuat penyesalan saya. Kita manusia yang sangatlah lemah fitrahnya.

Menangis air mata darah sekalipun saya, nasi dah jadi bubur. Walaupun pahit nak hadam dan penat nak ingatkan diri - ada hikmah kenapa macam ni perjalanan saya - ia peringatan yang perlu saya tekapkan dan pahatkan dalam diri setiap hari.


Penutup

Untuk korang yang masih bergelar pelajar dan dapat ikut pelan pengajian dengan baik serta dapat habis belajar ikut masa yang ditetapkan, tahniah ikhlas dari hati saya dan saya harap pengajian korang lancar sahaja. Ambil pengajaran daripada cebisan hidup saya yang dah saya kongsi dalam catatan ni, okey?

Untuk korang yang senasib dengan saya, jom gandakan usaha dan tawakal kita, okey? In sha Allah, ada sebab penting kenapa Allah tetapkan perjalanan kita macam ni. Kita hanya nampak gambaran yang kecil, tapi Allah dengan kebijaksanaan-Nya dah nampak jauh ke depan.

Terima kasih sebab sudi membaca, korang! Assalamualaikum. =)


You Might Also Like

0 comments

Like us on Facebook