Antara sebab saya berehat daripada Instagram untuk beberapa minggu.
Oktober 10, 2022Assalamualaikum wrt wbt.
Saya dah lama tak muat naik perkongsian tentang menulis di Instagram. Saya sejujurnya tak pasti berapa lama tempoh yang tepat saya berhenti berkongsi di situ, tapi saya yakin tempoh tersebut berjumlah hampir sebulan atau sebulan lebih. Dalam catatan ni, saya nak kongsikan beberapa sebab saya berhenti dan berehat sekejap daripada aktif di Instagram (IG). Kalau ada yang sudi membacanya dari awal hingga ke penutup catatan ni, terima kasih saya ucapkan. Semoga ada ibrah dan manfaat yang dapat korang kutip daripada pembacaan ni.
Kecelaruan dan keluruhan mental.
Selain daripada komitmen pengajian dan penulisan (dan sebelum ni komitmen usrah), saya tak ada apa-apa dalam hidup saya. Kalau nak diterjemah secara harfiah daripada BI, itulah ayatnya. Hidup saya sehari-hari selain daripada belajar dan rutin biasa, saya tak ada sesuatu projek sampingan yang bermakna selain menulis.
Tapi, lepas saya mula berkongsi dekat IG, saya mula rasa ada sesuatu tambahan dalam hidup saya. Ia membuatkan saya bersemangat nak berkongsi dengan orang apa yang saya belajar dan saya tahu. Itulah salah satu sisi positif penggunaan IG kepada saya. Ia beri satu lagi keghairahan dalam hidup saya.
Akan tetapi, lama-kelamaan madu bertukar menjadi racun. Saya mula ukur nilai diri sendiri melalui jumlah sukaan. Saya mula ketagih nakkan ganjaran dalam bentuk sukaan dan kegembiraan sementara. Saya mula membandingkan diri berlebih-lebihan dengan penulis yang lain dan macam-macam lagi. Saya mula paksikan IG sebagai asas ukuran nilai diri saya secara keseluruhannya.
Saya tengok cerita dan hantaran IG orang-orang lain dan saya mula mencemburui mereka secara berlebihan sampaikan keyakinan saya terjunam langsung. Kadang-kadang, saya persoal kenapa diorang dapat macam tu tapi saya tak dapat sedangkan saya pun berusaha. Banyak lagi perang dalaman yang saya hadapi disebabkan oleh IG.
Apa yang paling teruk, kebanyakan masa semua fikiran negatif ni bukannya betul pun. Tapi, ia yang paling kuat menguasai otak saya ni yang semula jadi memang selalu berfikir secara berlebihan. Semua tu sangat memenatkan dan ia memberi kesan negatif yang besar kepada kesejahteraan mental saya.
Tak penyabar nak mendapatkan hasil.
Ini mungkin cumalah alasan - tapi disebabkan saya dah terlalu biasa dengan ganjaran dan kegembiraan segera hasil daripada butang suka di IG, saya mula jadi tak sabar untuk usaha-usaha dan rezeki-rezeki saya yang lain.
Contohnya, saya penat mempromosi novel dan e-buku saya setiap hari dan setiap kali sebab saya nak pembaca sasaran saya cepat-cepat beli karya saya tu. Disebabkan dah biasa sangat dapat hasil yang cepat (terbiasa dengan butang suka di IG), saya secara tak langsung nak itu terpakai untuk semua usaha saya yang lain.
Saya jadi kurang penyabar. Saya jadi cepat hampa. Saya jadi mudah putus asa. Sedangkan yang sepatutnya saya tumpukan pada usaha sahaja dan biar Allah tentukan hasilnya. Tapi, otak saya dah jadi tepu dengan fikiran yang saya BERHAK dapat hasil yang saya nak sebab saya dah bagi usaha. Walhal, hidup tak akan sentiasa berjalan seperti apa yang kita nak. Allah lebih Mengetahui. Saya lupa langsung akan tu.
Masalah rendah diri melampau.
Alhamdulillah, sejak saya rajin berkongsi di IG, saya dapat berkenalan dengan ramai orang - penulis dan pembaca. Saya kenal pelbagai jenis penulis. Ada penulis novel, penulis artikel, penulis buku bukan fiksyen, dan ramai lagi. Saya juga berkenalan dengan ramai pembaca yang sangat gembira nak berkongsi tentang penulis-penulis kegemaran mereka.
Masa saya mula-mula kongsi, saya sasarkan tips-tips yang saya kongsi tu dapat dimanfaatkan oleh penulis yang baru. Tapi, tak saya sangka ada penulis-penulis senior dan penulis yang 'besar' ikuti dan suka pula hantaran-hantaran saya. Ada yang sampai sudi berkongsi ilmu dan pandangan dekat ruang komen bawah hantaran-hantaran saya.
Awalnya, semua ni mengujakan walaupun ia juga menakutkan.
Tapi, lama-kelamaan, saya rasa macam tak kena. Saya rasa macam saya tak layak nak berkongsi dan bagi nasihat menulis. Penulis-penulis yang saya ikuti dan ikuti saya semuanya lebih layak. Saya rasa macam lebih sudu daripada kuah. Saya rasa macam hipokrit dan berlagak tahu walaupun hakikatnya tak ada pun yang cakap macam tu langsung pada saya.
Tapi, itulah ... Otak saya tak faham tu. Apa yang otak saya nampak hanyalah saya yang lebih sudu daripada kuah ni.
Penutup
Lepas berborak dengan ummi dan kawan-kawan saya, saya buat keputusan untuk perlahan-lahan aktif IG semula. Mungkin taklah sekerap sebelum ni, tapi saya akan muat naik perkongsian baru dengan niat dan tetapan minda yang baru.
Ini cara saya dapat bagi manfaat dan peringatan buat ummah, terutama mereka yang sebaya saya dan yang lebih muda. Selain tu, saya akan ingatkan diri yang saya berkongsi sebagai seorang penulis yang mencintai bidang penulisan dan sentiasa terbuka nak belajar benda-benda baru berkait penulisan. Saya bukanlah pakar. Saya hanya seorang pelajar bidang penulisan yang suka berkongsi.
Itu sahaja saya nak kongsikan. Terima kasih kepada yang sudi membaca sampai sini. Assalamualaikum. =)
0 comments