Cerita-cerita sepanjang tiga bulan yang lepas
Mei 13, 2026Bismillah.
Banyak sambutan dan hari-hari besar yang saya tak kemas kini dekat blog ni. Punca terbesar secara jujurnya ialah kemalasan saya yang disebabkan oleh ketakutan dan kecuakan yang berterusan sepanjang tempoh nak dekat empat bulan ni.
Semasa bulan Februari, peristiwa besar yang jadi selain puasa Ramadan ialah jejak kasih saya dengan kawan sekolah menengah agama dulu, Syidah. Kami kenal melalui kawan bersama kami, Isma. Tapi lama kelamaan lepas tu, saya pun jadi semakin rapat dengan Syidah dan seorang lagi kawan kami, Aimi. Saya ajak dia berbuka di Masjid Negeri. Alhamdulillah, seronok sangat dapat berjumpa semula lepas dah berapa lama dan saling bertukar khabar dan cerita.
Bulan Februari dan Mac saya banyak tumpukan pada mencari kerja dan misi kurus sihat & kekal saya. Agak risau dan tertekan juga nak belajar jaga kesihatan dan badan dalam musim raya. Godaan dan dugaan di mana-mana sahaja. Tentang mencari kerja pula, alhamdulillah, daripada beberapa permohonan yang saya hantar, ada tiga firma yang panggil saya untuk ditemu duga, dan alhamdulillah saya diterima bekerja di salah satu firma tersebut.
Bulan April ialah bulan paling mencabar buat saya setakat ni dalam tahun 2026. Ya, sebahagian besarnya disebabkan oleh kerja baru saya di Firma H yang bidang undang-undang utama mereka amalkan ialah litigasi perbankan. Akan tetapi, rezeki dan kemampuan bertahan saya hanya setakat satu bulan sahaja di firma tersebut.
Kalau nak dipendekkan, saya berpandangan faktor terbesar saya dapat bekerja hanya untuk tempoh sebulan di Firma H ialah ketidaksepadanan antara persekitaran dan rentak serta bentuk bimbingan dan pengajaran di Firma H dengan keperluan, kebiasaan, dan kemampuan saya. Saya tahu dan yakin terhadap kemampuan saya untuk belajar dan berusaha, cuma persekitaran dan bimbingan di Firma H terlalu menekan untuk saya yang jenis ambil masa untuk belajar dan mahir. Dirambah pula isu dalaman saya yang mod resah cepat aktif.
Baru dua minggu bekerja di Firma H, saya dah hampir kena serangan panik. Berkali-kali saya fikir saya ni yang berasalah dan terlalu lembik atau memang kerja dan persekitaran Firma H yang bermasalah. Dan akhirnya saya rumuskan, bukan mana-mana pihak bermasalah, masalahnya terletak pada kemampuan dan kebolehan saya yang tak sekufu dengan apa yang dicari dan diperlukan oleh pihak firma. Jadi atas persetujuan bersama, saya hantar notis dan diberi pelepasan awal.
Selepas pengalaman temu duga dan bekerja dau Furma H, sejujurnya keyakinan dan kepercayaan terhadap diri saya koyak rabak teruk. Saya jadi hilang keyakinan pada diri yang saya mampu bekerja, saya jadi makin risau mengenangkan isu dalaman mental dan isu sikap saya yang sejak dulu masih ada dan mengganggu hingga ke hari ini. Senang cerita, saya dah bersedia nak putus asa seputus-putusnya hari tu.
Tapi dengan izin Allah, itu tak terjadi. Kalau tak kerana rahmat dan kekuasaan Allah, saya takkan mampu bangkit perlahan-lahan dari kekecewaan dan teruskan melangkah. Daripada kejadian ni, ada banyak hal yang saya belajar dan membantu saya bertumbuh jadi lebih percaya diri, lebih berdikari dalam mengurus dan mengesahkan emosi sendiri, dan yang paling saya syukuri pengajaran hidup tentang macam mana untuk tak kalah dengan keputusasaan.
Pun begitu, tidaklah bermaksud hanya cabaran dan kedukaan merundung saya sepanjang bulan April ni. Walaupun di luar bulan April, saya bersyukur dan gembira sebab berezeki jumpa tunang saya dalam tempoh sebulan lebih tu. Untuk konteks, saya dan tunang memang tak ada keluar berjanji temu, dsb. Borak dekat WhatsApp pun sesekali santai, dan biasanya bincang hal-hal berkaitan majlis. Sekali jumpa pada 28 Mac, rumah terbuka Ecek saya. Kali kedua pada 18 April, rumah terbuka mak dak saya, dan kali ketiga pada 02 Mei di kenduri kesyukuran mak cik saya.
Untuk bulan Mei, setakat ni kejadian terbesar dan signifikan ialah mod memburu kerja saya yang diaktifkan semula. Alhamdulillah, walaupun ketakutan dan keresahan serta rasa tak percaya tu ada bertapak sikit-sikit, saya ambil langkah-langkah kecil pada satu-satu masa untuk teruskan perjuangan sebab saya berimpian nak bekerja sebagai seorang peguam!
Saya tak kira! Lambat ke cepat ke, yang penting saya ada rezeki walau sekejap untuk merasa bekerja sebagai seorang peguam yang dah rasmi. Pun begitu, saya tak nafi, ini semua tertakluk kepada apa yang dah Allah rezekikan untuk saya. Saya akan berusaha semampu dan sebatas daya saya. Hasilnya saya serahkan kepada Allah SWT bulat-bulat.
Rasanya itu salah kut dulu untuk catatan kali ni. Insya-Allah, lain kali saya akan usahakan tulis hal-ha yang boleh bawa manfaat pada pembaca pula, bukan sekadar catatan peribadi macam ni. Sekian dari saya.
Assalamualaikum.



0 comments