Assalamualaikum wrt wbt,
Tujuan asal saya tulis catatan ni khusus untuk mereka yang ada masalah keresahan melampau macam saya. Jenis yang perlu tahu A-Z, semua benda secara berturutan sebelum menempuh sesuatu. Dan secara umumnya pula, semoga catatan ni akan membantu mereka yang bakal dan sedang menempuh Latihan Dalam Kamar (LDK)/Pupillage/Chambering.
Seperti yang termaktub dalam Seksyen 12(2) Akta Profesion Undang-Undang 1976, tempoh LDK ialah sembilan bulan. Tak kisahlah ada kelewatan disebabkan hal-hal tertentu contohnya macam tarikh Long Call (upacara rasmi di Mahkamah Tinggi melibatkan Pelatih Dalam Kamar mengangkat sumpah dan didaftarkan secara rasmi sebagai Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya). Aala kulli hal, cukup saja sembilan bulan, genap sudah tempoh LDK!
Dalam tempoh sembilan bulan ni, selain berlatih dan bekerja di bawah seliaan seorang Pengajar, ada beberapa perkara yang perlu dilakukan dan dilengkapkan oleh seorang Pelatih, antaranya:
- Pemfailan Borang 1 hingga 8 (berserta Afidavit Penyampaian, serahan kepada tiga Badan - Badan Peguam Malaysia, Badan Peguam Negeri dan Jabatan Peguam Negara).
- Lengkapkan borang-borang Badan Peguam Malaysia dan Badan Peguam Negeri (akan dihantar melalui e-mel biasanya).
- Sertai program pengenalan rasmi Jawatankuasa Peguam negeri masing-masing (untuk negeri Selangor, kena dapatkan tandatangan ahli-ahli jawatankuasa tertinggi, hadiri empat program anjuran Badan Peguam Negeri untuk dapatkan laporan sulit).
- Lengkapkan 14 hari program Bantuan Guaman (Legal Aid).
- Dapatkan Sijil Pengecualian Peperiksaan BM.
- Lengkapkan Ethics Course Training (dalam talian dan secara fizikal).
Dalam catatan ni, saya nak fokus pada Ethics Course sahaja. Ethics Course ni bukan boleh terus main jawab dan sertai macam gitu je. Ada beberapa langkah untuk selesaikan syarat LDK yang ini. Pertama, korang kena isi borang pendaftaran yang akan diberikan melalui e-mel oleh mana-mana kakitangan Badan Peguam Malaysia. Masa saya dulu, mereka minta borang ni diisi dan dipulangkan semula dalam salinan fizikal. Jadi, kena poslah.
Langkah seterusnya ialah pergi ke laman web Badan Peguam Malaysia. Cari butang "Payments" dalam deretan butang menu tu, kemudian pilih "Pupil". Masukkan nombor Kad Pengenalan, dan kemudian dia akan log masukkan korang ke dalam halaman berikutnya. Tatal ke bawah sampailah jumpa perkataan "Enquiry", atau nak senang tekan je butang Ctrl + F pada papan kekunci dan taip "Ethics Course".
Lepas tu, pilih Ethics Course yang RM150, dan muat naik borang yang dah diisi mula-mula tadi ke dalam ruang yang disediakan. Tulis "Ethics Course Registration" dekat dalam kotak Enquiry. Selesai semua tu, terus buat bayaran.
Lepas bayaran dibuat, resit akan diterima dan En. Saiful daripada Badan Peguam Malaysia akan hantar e-mel memaklumkan yang pembayaran berjaya dan satu lagi e-mel untuk memaklumkan langkah-langkah pendaftaran untuk akses Online Ethics Course. Ikut sebiji-sebiji semua langkah yang diterangkan dalam e-mel. Paling penting, jangan terlepas pandang kod akses dalam gambar yang disisipkan (dalam e-mel yang saya dapat, kod akses ada dalam gambar sisipan bawah langkah ke-4).
Selesai semua langkah ni, boleh dah mula jawab soalan-soalan objektif bagi keenam-enam modul dalam laman web tersebut. Setiap kali ada masa lapang, jawab. Jangan bertangguh macam saya dulu. Kalau tak nanti, meleret-leret tempoh LDK korang dan makin lambatlah dapat tarikh Long Call. Nak jawab soalan MCQ semua tu, tak semestinya perlu baca dulu. Boleh je jawab sambil rujuk modul. Apa yang paling penting, lengkapkan semua soalan secepat yang korang mampu.
Kalau korang berlengah-lengah dan tak mula-mula menjawab MCQ semua tu, En. Saiful akan hantar e-mel peringatan atau boleh jadi akan telefon korang untuk mengingatkan korang supaya segera selesaikan soalan MCQ semua tu. Macam saya kena dululah, huhu.
Selesai jawab keenam-enam modul, maklumkan melalui e-mel kepada En. Saiful. Dan dia akan hantar lima soalan esei yang perlu korang jawab. Selesaikan jawab lima esei ni, juga secepat mungkin. Lepas dah siap, segera maklumkan En. Saiful melalui e-mel. Biasanya, satu bulan masa yang diambil untuk periksa jawapan esei tu.
Lepas dah dapat e-mel pengesahan yang korang dah berjaya lengkapkan tugasan esei tu, korang akan diberi borang pendaftaran untuk Ethics Course secara fizikal pula. Pilihlah tarikh yang sesuai dengan korang dan kemudian dah boleh tenang-tenang sekejap.
Beberapa hari sebelum Ethics Face-to-Face Training di Wisma Bar Council, korang akan terima e-mel peringatan daripada En. Saiful berkenaan Ethics Face-to-Face Training tersebut. Dalam e-mel tu, ada dimaklumkan lokasi, tarikh, masa, tentatif, etika pakaian, dan nota slaid topik.
Pada hari kejadian, buat korang yang memandu ke Wisma Bar Council, silalah letakkan kenderaan anda sama ada di tempat letak kereta Plaza Dataran Merdeka (murah sikit tapi jauh) atau di Pasar Seni (mahal banyak tapi dekat). Lepas habis semua sesi taklimat/perkongsian, korang akan terima sijil tanda kejayaan menamatkan semua penilaian Ethics Course - MCQ, esei, dan taklimat fizikal.
Untuk Pelatih bawah negeri Selangor (dan juga negeri-negeri lain bagi mereka yang belum buat bayaran), ada dua bayaran perlu dibuat pada hari tersebut (ada juga yang dah buat bayaran awal-awal secara dalam talian), iaitu bayaran yuran keahlian Badan Peguam Malaysia berjumlah RM200 (tunai dan QR sahaja) yang boleh dibuat di tingkat 5, Disciplinary Room. Isi borang dulu, serahkan kad pengenalan, kemudian tunggu nama dipanggil dan serahan resit.
Kemudian, pergi pula ke tingkat 3, bilik Membership (kalau saya tak silap), tunjuk dan kemudian serahkan resit yuran RM200 tadi. Buat bayaran RM30 (QR) untuk Instrumen Kemasukan, dan kemudian kakitangan kaunter akan tanya korang akan Long Call di mahkamah mana (bagi Pelatih dari negeri Selangor). Kalau korang pilih Mahkamah Shah Alam (atau kalau korang dari negeri selain Selangor dan Kuala Lumpur), dia akan terus bagi Instrumen korang. Kalau nak di Mahkamah Kuala Lumpur, korang takkan diberi Instrumen sendiri hinggalah hari Long Call, seingat sayalah.
Bawah ni gambar Instrumen Long Call yang akan dicop dan didaftrai oleh Hakim Mahkamah Tinggi:
***
Sekian sahaja catatan ini. Semoga ada manfaat untuk mereka yang memerlukan. Terima kasih kepada yang sudi membaca sampai habis!