Assalamualaikum wrt wbt,
Sebagaimana timbulnya rasa damai dan manis bila tengok rekaan dan warna kulit buku ni, begitu jugalah rasa yang sama timbul sepanjang saya membaca dan mengikuti cerita Khayla dan Luth. Cerita Medusa ni ada dua persamaan besar dengan siri anime Kimi Ni Todoke pada hemah saya, dan persamaan tersebut terletak pada watak utama lelaki dalam cerita. Luth sama macam Shouta dari segi berperwatakan menyenangkan dan memainkan peranan besar membantu pasangan masing-masing bertumbuh menjadi versi diri yang lebih baik.
Lain kata, ini bukan cerita cinta yang kosong dan babak-babak romantik yang ada hanya cukup-cukup rasa dan tak terlalu mendominasi cerita pada hemah saya. Juga saya hargai tak ada konflik rumahtangga yang dramatik. tak matang dan tak perlu dalam cerita ni. Juga saya hargai tak ada konflik rumahtangga yang dramatik. tak matang dan tak perlu dalam cerita ni.
Tanggapan seawal lima bab pertama, saya macam pening dan sedikit menyampah baca cerita ni. Saya jadi pening sebab terlalu banyak watak yang diperkenalkan dalam babak-babak yang singkat. Tambahan, ada beberapa watak yang nama seakan kurang sama. Bertambah keliru bila benda yang sama jadi lagi pada pertengahan cerita. Apa yang saya menyampah pula sebab novel ni ada aspek tipikal novel yang saya paling tak suka, watak-watak utama yang sangat berupa, dan watak yang lahir dalam keluarga kaya.
Tapi, perasaan menyampah saya ni tak bertahan lama pun sebab perwatakan kedua-dua watak utama cerita ni selain menyenangkan dan bersebab, ia juga sangat kuat, bersifat manusiawi, dan menyerlah. Memang terasa benar-benar hidup dan insaniah kedua-dua watak utama cerita Medusa ni.
Saya nak beralih pada plot cerita pula. Secara keseluruhan, jalan cerita novel ni pacuannya sedang-sedang laju pada pandangan saya. Lepas habis baca, saya fikir-fikir balik, ada bagusnya juga jalan cerita novel ni padat dan laju. Dapatlah elakkan cerita meleret dan konflik beremosi memanjang. Cuma dari satu segi yang lain pula, saya rasa macam ada cerita-cerita yang tak patut dilangkau dan cerita-cerita yang tak ditulis tu boleh mengkayakan lagi cerita dan mendekatkan lagi hati pembaca dengan watak-watak utama, Khayla khususnya.
Saya nak tekankan khususnya pada apa yang terjadi sepanjang tempoh lima tahun lepas Khayla keluar dari kampung langsung tak diceritakan. Dan saya rasa itu macam satu kesempatan yang terlepas. Saya teringin nak tahu dan tengok pertumbuhan peribadi Khayla dalam tempoh ni. Sekali lagi saya rasa benda yang sama bila masuk ke bab 21. Tahu-tahu dah kahwin dah Luth dan Khayla. Tapi dari satu sisi lain, bagus juga tak ada drama tipikal meleret yang tak perlu tentang konflik cinta dua watak ni.
Ada tiga benda saja yang saya tak setuju dalam novel ni. Pertama, ujaran Ustaz Nazeem pada m/s 47. Dia seolah-olah nak katakan secara tersirat yang cinta ialah benda paling penting dalam perkahwinan. Saya terkilan sebab ni watak ustaz kut! Mereka yang mendalami agama, lagi-lagi ustaz, tahu yang cinta bukanlan benda paling penting dalam perkahwinan.
Kedua, penggunaan "karma" dalam ujaran Khayla pada m/s 154. Marilah kita buang kebiasaan menggunakan perkataan ni dalam cerita, walaupun hanya secara santai atau hanya sekadar ungkapan. Dan yang terakhir, kebiasaan Luth mengungkapkan "sayang" dan "rindu" langsung pada Khayla semasa hubungan belum halal. Batasan fizikal elok Luth jaga, tapi batasan syariat dan emosi tak terjaga. Tambahan, ia digambarkan pula sebagai romantik dan tak ada salahnya. Di sini saya nak tegaskan, romantik sebegitu dalam hubungan belum halal salah ya. Keluar berdua apatah lagi.
Ringkasan ulasan saya dari segi teknikal semata-mata seperti berikut:
- Laras bahasa: Tipikal moden, tapi sarat dengan pemilihan kata yang merangsang emosi.
- Plot: Ringkas, mudah, tapi sarat dengan emosi dan pengajaran yang penuh makna.
- Watak & Perwatakan: Watak-watak utama mempunyai peribadi yang menyeluruh, tak terasa bersifat satu dimensi.
Markah akhir saya untuk novel ni ialah 4.5/5 bintang.